SKUAD Kuching City FC yang turun dengan misi untuk bangkit meraih kemenangan malam kelmarin gagal menterjemahkan banyak peluang yang ada apabila berjaya diikat pasukan Selangor FC Il 1-1 dalam aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.
Turun dengan kesebelasan terbaik mereka, menyaksikan skuad The City Boys bermula garang pada awal babak perlawanan dengan serangan bertali arus ke atas gawang gol pasukan Selangor FC II.
Pada babak pertama permainan seimbang ditunjukkan oleh kedua-dua pasukan yang saling mengatur gerakan untuk mendapatkan jaringan awal.
Nasib lebih menyebelahi Kuching City apabila berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-22 apabila Mohamad Alif Hassan berjaya menanduk masuk hantaran lintang daripada Hudson Dias untuk meletakkan pasukan yang dibimbing ketua jurulatih Irfan Bakti Abu Salim itu di hadapan.
Ketumpulan penyudah menghantui kedua-dua pasukan apabila setiap peluang terhidang gagal diterjemahkan dalam bentuk jaringan dan keputusan 1-0 itu kekal sehingga tamat babak pertama.
BERSAMBUNG babak kedua, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, dengan anak buah Michael Feichtenbeiner seakan-akan enggan tunduk mengalah apabila cubaan demi cubaan dilakukan untuk memecah bentang daripada pasukan lawan itu, gagal menterjemahkan sebarang gol.
Kegembiraan pasukan Kuching City bagaimanapun tidak sampai ke penghujung apabila ketua pasukan, Joseph Kallang Tie tertanduk masuk bola sepakan bebas Fazrul Fahriz ke gawang sendiri sekali gus memberi gol penyamaan buat Selangor FC II pada minit ke-88 perlawanan.
Tersentak dengan jaringan penyamaan pelawat, Kuching City berusaha untuk bangkit mengatur serangan pantas, namun tindakan itu sudah terlewat apabila keputusan seri 1-1 itu kekal sehingga tiupan wisel penamat.
Skuad Kuching City yang gagal mengutip sebarang mata apabila tewas menentang Kelantan FC 1-0 minggu lalu, cuba untuk bangkit pada perlawanan ini terpaksa berpuas hati berjaya mencuri satu mata berharga.
Sementara itu, skuad Kuching City FC kini berada ditangga ke-10 Liga Premier dengan memungut tujuh mata daripada lapan perlawanan, manakala Selangor FC II pula berada dikedudukan ke-7 (11 mata) daripada tujuh perlawanan.
Skuad The City Boys, Sabtu ini (24 April) akan bertandang ke Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu menentang pasukan Kelantan United FC.
Oleh ADI SAFARMAN