
NEW YORK: FIFA akan menjual kepingan padang daripada perlawanan akhir Piala Dunia, dengan peminat berpeluang membeli cebisan kecil rumput padang itu pada harga sekitar AS$445 (sekitar RM1,800) setiap satu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
“Miliki sebahagian daripada sejarah bola sepak dengan kepingan asli rumput padang Piala Dunia FIFA 2026™ yang dipelihara secara kekal dalam akrilik premium bersama cenderamata pemacu USB,” menurut keterangan produk itu di kedai dalam talian FIFA.
“Setiap kepingan mengandungi cebisan asli daripada permukaan padang perlawanan akhir yang ikonik, menjadikannya koleksi unik yang meraikan antara acara sukan terbesar dunia. Pemacu USB akrilik itu turut dilengkapi filem pengesahan ketulenan, selain berfungsi sebagai bahan pameran yang moden dan elegan.”
FIFA turut memaklumkan bahawa setiap item hanya akan dihantar selepas perlawanan akhir pada 19 Julai di New Jersey dan, setakat ini, penghantaran hanya disediakan ke Amerika Syarikat (AS) serta Eropah.
Rumput padang itu sememangnya perlu ditanggalkan selepas perlawanan kerana stadium berkenaan menggunakan padang tiruan di bawahnya untuk kegunaan pasukan New York Giants dan New York Jets dalam Liga Bola Sepak Kebangsaan (NFL). Ramai pemain NFL pula lebih gemar padang rumput dikekalkan. – Bernama