Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KESIHATAN
  • Hari Denggi ASEAN tingkat kesedaran masyarakat perangi Aedes
  • KESIHATAN

Hari Denggi ASEAN tingkat kesedaran masyarakat perangi Aedes

Utusan Sarawak 8 hours ago
ORANG ramai menjalani saringan kesihatan sempena Sambutan Hari Denggi ASEAN 2026. Foto JaPen

JULAU: Sambutan Hari Denggi ASEAN 2026 menjadi platform penting untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai bahaya demam denggi di samping memperkukuh penglibatan komuniti dalam usaha membanteras pembiakan nyamuk Aedes bagi mewujudkan persekitaran yang lebih sihat dan selamat.

Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien berkata, sambutan itu bertujuan mendidik masyarakat, meningkatkan penglibatan komuniti, memperkukuh kerjasama antara pelbagai agensi serta membudayakan amalan menjaga kebersihan persekitaran.

Beliau berkata, usaha membanteras denggi bukan tanggungjawab Kementerian Kesihatan (KKM) semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak.

“Sekiranya terdapat tempat pembiakan nyamuk Aedes di halaman rumah, maka risiko penularan penyakit itu turut mengancam keselamatan keluarga,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Denggi ASEAN dan Program Gotong-Royong Mega Perangi Aedes Peringkat Negeri Sarawak 2026 di pekarangan tempat letak kereta Majlis Daerah Meradong dan Julau (MDMJ), hari ini.

DATUK Larry Sng Wei Shien menyampaikan ucapan pada Sambutan Hari Denggi ASEAN dan Program Gotong-Royong Mega Perangi Aedes Peringkat Negeri Sarawak 2026. Foto JaPen

Larry berkata, Program Gotong-Royong Mega Perangi Aedes yang diadakan sempena sambutan itu membuktikan semangat kebersamaan dan budaya bergotong-royong masih kukuh dalam kalangan masyarakat, khususnya di daerah Julau.

Menurutnya, semangat sedemikian perlu terus dipupuk bagi memastikan komuniti sentiasa berada dalam keadaan sihat dan sejahtera.

Beliau berkata, pembangunan sesebuah kawasan bukan sahaja bergantung kepada penyediaan kemudahan infrastruktur dan peluang ekonomi, malah memerlukan masyarakat yang sihat untuk menikmati manfaat pembangunan tersebut.

Dalam pada itu, beliau berkata, Julau kini berada di landasan pembangunan yang positif menerusi pelaksanaan pelbagai projek, termasuk pembinaan sebuah klinik kesihatan baharu yang dijangka memberi manfaat besar kepada penduduk setempat.

Namun, katanya, kemudahan kesihatan yang baik perlu disertai dengan tahap kesedaran serta penglibatan aktif masyarakat dalam usaha mencegah penyakit.

“Seperti yang sering diperkatakan, mencegah lebih baik daripada merawat. Oleh itu, program seperti ini amat relevan dan wajar diteruskan secara berterusan,” katanya.

Beliau turut menegaskan komitmennya untuk terus menyokong segala usaha yang dilaksanakan oleh agensi kerajaan, jabatan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta komuniti setempat kerana kejayaan sesuatu program bergantung pada kerjasama yang erat antara semua pihak.

PESERTA menyertai aktiviti senamrobik sempena Sambutan Hari Denggi ASEAN dan Program Gotong-Royong Mega Perangi Aedes Peringkat Negeri Sarawak 2026. Foto JaPen

Menurutnya, semangat Segulai Sejalai yang membawa maksud bergerak seiring dan saling membantu perlu terus dijadikan pegangan dalam membina komuniti yang lebih maju, sihat dan sejahtera.

Mengulas tema Sambutan Hari Denggi ASEAN 2026, Sains Sebagai Penyelesaian, beliau berkata setiap penyelesaian bermula dengan ilmu, diperkukuh melalui tindakan dan akhirnya mencapai kejayaan menerusi kerjasama semua pihak.

Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat supaya terus mengamalkan langkah pencegahan denggi dengan meluangkan sekurang-kurangnya 10 minit setiap minggu untuk memeriksa serta menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes di kediaman dan persekitaran masing-masing.

“Marilah kita menjadikan amalan menjaga kebersihan sebagai budaya hidup harian demi melindungi keluarga, komuniti dan generasi akan datang daripada ancaman demam denggi,” katanya.

Oleh Earl Anek

Tags: Kesihatan

Continue Reading

Previous: Kes denggi nasional melepasi 40,000, Sarawak turut meningkat

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.