Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Sistem parkir baharu Sibu perlu ditambah baik, jangan bebankan rakyat — Tiong
  • Tengah
  • WILAYAH

Sistem parkir baharu Sibu perlu ditambah baik, jangan bebankan rakyat — Tiong

Utusan Sarawak 14 hours ago
DATO Sri Tiong King Sing.

SIBU: Semua kompaun yang dikeluarkan susulan masalah pelaksanaan sistem parkir baharu di Sibu antara 1 hingga 9 Julai lalu wajar digugurkan secara automatik tanpa pengguna perlu mengemukakan rayuan atau permohonan secara individu.

Gesaan itu disuarakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong, Dato Sri Tiong King Sing yang berpendapat rakyat tidak seharusnya menanggung kesan akibat kelemahan sistem yang masih berada dalam fasa peralihan.

Beliau berkata, pihak yang bertanggungjawab melaksanakan sistem itu perlu mengambil inisiatif membetulkan kelemahan yang berlaku dan bukannya meletakkan beban kepada orang ramai untuk membuat aduan atau rayuan satu demi satu.

Sehubungan itu, beliau menggesa Majlis Perbandaran Sibu (MPS), khususnya Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (Kesihatan Awam dan Perumahan), Datuk Michael Tiang Ming Tee, supaya menggugurkan secara automatik semua kompaun parkir yang dikeluarkan antara 1 hingga 9 Julai akibat masalah sistem baharu berkenaan.

“Setiap dasar yang memberi kesan kepada kehidupan harian rakyat perlu dikaji secara menyeluruh, diuji secukupnya dan disertai penerangan yang jelas sebelum dilaksanakan supaya benar-benar memudahkan rakyat, bukannya menimbulkan kesulitan.

“Jika sesuatu sistem masih belum benar-benar bersedia, ia tidak sepatutnya dilaksanakan secara tergesa-gesa sehingga menyebabkan orang ramai dikenakan kompaun akibat kelemahan sistem,” tegasnya.

APLIKASI SMC Cares Sistem Parkir Pintar.

Mengulas lanjut, antara aduan yang diterima ialah kesukaran membeli pas parkir dengan segera, pengguna yang tidak mahir menggunakan aplikasi, selain maklumat petak parkir dan nombor pendaftaran kenderaan yang dikunci oleh sistem.

Malah, katanya, ada pengguna dikenakan bayaran minimum 30 minit walaupun hanya menggunakan petak parkir dalam tempoh yang singkat, manakala baki tempoh parkir yang tidak digunakan tidak dapat dimanfaatkan oleh pengguna lain kerana sistem terus menganggap petak itu masih diduduki sehingga tempoh berakhir.

“Keadaan ini menunjukkan sistem masih kurang mesra pengguna kerana tidak mengambil kira penggunaan sebenar di lapangan.

“Sistem itu sepatutnya menyediakan tempoh bertenang (grace period) seperti yang diamalkan di kebanyakan pusat beli-belah bagi memberi ruang kepada pengguna membuat pembayaran atau menyelesaikan urusan tanpa terus dikenakan tindakan,” jelasnya.

Tambah beliau, bukan semua masyarakat mahir menggunakan aplikasi telefon pintar, terutama warga emas yang memerlukan masa untuk mempelajari dan menyesuaikan diri dengan teknologi baharu.

“Terdapat pengguna yang dikenakan kompaun ketika masih cuba mendaftar akaun, memasukkan maklumat kenderaan dan memahami cara menggunakan aplikasi parkir berkenaan.

“Pegawai penguat kuasa sewajarnya memberi bimbingan dan bantuan kepada orang ramai sepanjang tempoh awal pelaksanaan sistem, bukannya terus mengeluarkan kompaun,” katanya.

Dalam pada itu, Tiong berkata pihak berkuasa perlu mengadakan libat urus bersama orang ramai, komuniti perniagaan dan pihak berkepentingan sebelum melaksanakan sesuatu dasar bagi memahami cabaran sebenar yang bakal dihadapi pengguna.

Beliau turut membangkitkan isu kadar caj parkir di Sibu yang dianggarkan sekitar RM0.84 sejam, lebih tinggi berbanding Bintulu sekitar RM0.53 sejam dan Kuching sekitar RM0.74 sejam walaupun Sibu masih berstatus majlis perbandaran.

“Kewajaran kadar caj tersebut perlu dikaji semula memandangkan keadaan ekonomi semasa yang masih mencabar dan kos sara hidup yang terus meningkat.

“Diminta pihak berkuasa mengambil kira keperluan kawasan perindustrian seperti Jalan Khoo Peng Loong atau Pulau Babi yang menjadi lokasi operasi syarikat logistik, lori dan jentera berat kerana sistem parkir yang bersifat seragam tidak sesuai dilaksanakan di semua kawasan.

“Dasar yang baik seharusnya mengutamakan kemudahan rakyat, mengambil kira keperluan sebenar pengguna serta dilaksanakan selepas persediaan, penerangan dan tempoh peralihan yang mencukupi, bukannya mengharapkan rakyat menyesuaikan diri selepas sesuatu dasar diperkenalkan,” ujarnya.

Terdahulu, MPS melaksanakan sepenuhnya Sistem Parkir Pintar SMC Cares bermula 1 Julai lalu bagi menggantikan penggunaan kupon parkir fizikal. 

Pelaksanaan sistem itu bagaimanapun mencetuskan pelbagai rungutan orang ramai, termasuk isu caj parkir pada waktu makan tengah hari, kesukaran menggunakan aplikasi, masalah teknikal serta kompaun yang didakwa dikeluarkan ketika pengguna masih dalam proses menyesuaikan diri dengan sistem baharu.

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: 278 penerima terima surat hak milik 345 lot tanah di Kuala Rajang
Next: Chee Kadir mahu projek masjid baharu Kabong disiapkan mengikut jadual

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.