
SIBU: Program Sarawakku Sayang (SKS) Peringkat Bahagian Sibu diyakini mampu mencatat kehadiran lebih tinggi berbanding penganjuran di Kapit, sekali gus meneruskan trend peningkatan sambutan rakyat terhadap program turun padang kerajaan Sarawak.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, keyakinan itu bersandarkan kedudukan Sibu yang strategik serta mudah diakses dari beberapa bahagian berhampiran seperti Kapit, Kanowit, Selangau, Mukah dan Bintulu.
“Kapit sebelum ini merekodkan kira-kira 38,000 pengunjung dan saya percaya Sibu berpotensi mencatat kehadiran yang lebih tinggi kerana lokasinya lebih strategik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pra-pelancaran Dapur Sibu dan Pavilion Program Sarawakku Sayang Peringkat Bahagian Sibu di Dataran Tun Tuanku Bujang, di sini, hari ini.
Mohamad Abu Bakar berkata, setakat ini SKS telah dianjurkan di lima lokasi dan setiap penganjuran menunjukkan peningkatan jumlah kehadiran pengunjung.

Menurutnya, perkembangan itu membuktikan objektif kerajaan untuk mendekatkan agensi serta penyampaian perkhidmatan kepada rakyat berjaya dicapai.
“Konsep SKS kali ini lebih berorientasikan penyampaian perkhidmatan. Kita mahu memahami keperluan rakyat dan menyediakan pelbagai perkhidmatan yang boleh dimanfaatkan dalam bidang ekonomi, pendidikan, kebajikan sosial serta lain-lain,” katanya.
Beliau berkata, penerimaan masyarakat terhadap pendigitalan perkhidmatan kerajaan juga semakin memberangsangkan apabila orang ramai semakin biasa menggunakan platform digital seperti kod QR untuk mendapatkan maklumat serta berurusan dengan agensi kerajaan.
Katanya, pendekatan secara bersemuka tetap dikekalkan bagi memastikan rakyat memperoleh penerangan yang lebih jelas serta perkhidmatan yang memenuhi keperluan masing-masing.
Beliau berkata, SKS Peringkat Bahagian Sibu menyasarkan kehadiran lebih 30,000 pengunjung dan mengajak masyarakat dari seluruh Bahagian Sibu serta kawasan berhampiran hadir bagi mendapatkan pelbagai maklumat dan perkhidmatan yang disediakan oleh agensi kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan.
Oleh Tarani Lanting