Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KESIHATAN
  • Bayi menangis ketika menyusu rupakan petanda tongue Tie 
  • KESIHATAN

Bayi menangis ketika menyusu rupakan petanda tongue Tie 

Utusan Sarawak 8 hours ago
PAKAR menasihatkan ibu bapa mendapatkan pemeriksaan jika bayi sukar menyusu kerana ia mungkin berpunca daripada tongue tie.

KUALA LUMPUR: Bayi menangis setiap kali menyusu bukan semestinya berpunca daripada teknik penyusuan kurang tepat, sebaliknya boleh menjadi petanda masalah seperti tali lidah ketat atau tongue tie yang mengehadkan pergerakan lidah dan menjejaskan proses menyusu.

Keadaan itu dialami Iman Nadzirah Sulaiman selepas melahirkan anak sulungnya apabila setiap sesi penyusuan menjadi pengalaman menyakitkan akibat rasa mencucuk pada bahagian puting.

Selama sebulan, Nadzirah menyangka kesukaran yang dialaminya berpunca daripada dirinya yang belum menguasai teknik penyusuan sebelum menyedari anaknya mengalami pergerakan lidah yang agak terhad.

Tidak tahan dengan kesakitan berterusan itu, dia mendapatkan pemeriksaan pakar pediatrik selepas mendapati anaknya sukar menggerakkan lidah termasuk tidak mampu mencapai lelangit sepenuhnya.

“Selepas pemeriksaan, doktor memaklumkan ia bukan berpunca daripada kesilapan teknik penyusuan, sebaliknya anak saya mengalami tongue tie atau ankyloglossia, iaitu keadaan yang mengehadkan pergerakan lidah dan boleh menjejaskan proses penyusuan.

“Selepas doktor mengesahkan keadaan itu, saya mengambil keputusan menjalani prosedur memotong tali lidah menggunakan kaedah laser atas nasihat doktor,” katanya kepada Bernama.

Nadzirah berkata dia kini lebih lega kerana dapat menikmati pengalaman menyusukan anak tanpa kesakitan seperti sebelum ini.

TONGUE tie mengehadkan pergerakan lidah bayi, sekali gus menyukarkan penyusuan dan menyebabkan ibu berasa sakit.

Bukan keadaan yang jarang berlaku, Pakar Perunding Pediatrik dan Neonatologi di Sunway Medical Centre Velocity, Dr Chan Pei Sing berkata antara empat hingga 10 peratus bayi baru lahir mengalami tali lidah ketat.

Menurut beliau, keadaan itu berlaku apabila tisu yang menghubungkan bahagian bawah lidah ke dasar mulut (lingual frenulum) terlalu pendek, tebal atau ketat sehingga mengehadkan pergerakan lidah.

“Pergerakan lidah terhad mengganggu keupayaan bayi melekap dengan betul. Ini menyebabkan sesi penyususan jadi tidak efektif dan boleh menyebabkan bayi tak mendapat susu secukupnya selain ibu mengalami  puting sakit, luka atau mastitis (bengkak payudara),” katanya dan menjelaskan antara tanda tongue tie adalah hujung lidah bayi yang berbentuk hati jika dijelirkan atau dijulurkan. 

Menurut Dr Chan, punca sebenar tali lidah ketat masih belum diketahui sepenuhnya, namun bukti menunjukkan faktor genetik dipercayai memainkan peranan kerana keadaan itu kadangkala berlaku dalam kalangan ahli keluarga yang sama. 

Beliau bagaimanapun berkata corak pewarisan keadaan perubatan ini masih belum difahami sepenuhnya, justeru ibu bapa tidak perlu menyalahkan diri sendiri, selain kes lebih kerap dilaporkan dalam kalangan bayi lelaki berbanding perempuan.

Mengulas mengenai rawatan, pakar pediatrik ini berkata meskipun frenulum tidak akan putus atau hilang dengan sendirinya, tidak semua kes tali lidah ketat memerlukan prosedur pembedahan kerana tisu organ itu berkemungkinan turut berkembang apabila kanak-kanak membesar. 

“Prosedur mengurangkan ketegangan lidah biasanya prosedur minor dan boleh dibuat di wad oleh pakar kanak-kanak atau doktor pakar telinga, hidung dan tekak (ENT), tidak memerlukan dewan pembedahan (jika masih bayi),” katanya menambah rawatan bergantung pada simptom dan fungsi, bukan semata-mata umur. 

BAYI yang sukar menyusu atau kerap menangis mungkin mengalami tali lidah ketat (tongue tie) yang menjejaskan proses penyusuan.

Bagi individu dewasa atau kanak kanak berusia lebih enam bulan, beliau berkata prosedur masih boleh dilakukan sekiranya tongue tie menjejaskan kehidupan seharian, bergantung pada penilaian lanjut pakar ENT.

“Kebanyakan kami melakukan prosedur memotong tali lidah ketika bayi bagi membantu penyusuan.

“Bagaimanapun, ia bukan jaminan kanak-kanak tidak akan mengalami masalah pertuturan pada masa depan, sama seperti bayi yang tidak menjalani prosedur itu tidak semestinya akan bercakap pelat kerana tongue tie hanyalah satu daripada faktor yang boleh mempengaruhi pertuturan,” katanya.

Dr Chan turut menjelaskan antara salah faham paling lazim dalam masyarakat ialah menganggap tongue tie sebagai ‘lidah pendek’, sedangkan kedua-duanya merupakan keadaan yang berbeza.

“Lidah pendek merujuk saiz lidah seseorang manakala tongue tie melibatkan tisu di bawah lidah yang mengehadkan pergerakannya. Jadi bukan lidah yang dipotong ketika prosedur dilakukan, sebaliknya hanya tisu itu sahaja,” katanya. – Bernama

Continue Reading

Previous: Pendigitalan KKM berjaya kurangkan masa menunggu pesakit – Hanifah Hajar
Next: MBKS, BMC sedia saringan kesihatan percuma untuk komuniti Bintawa

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.