Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Jurulatih Maghribi tekad bangkit lebih kuat selepas tersingkir di Piala Dunia
  • SUKAN

Jurulatih Maghribi tekad bangkit lebih kuat selepas tersingkir di Piala Dunia

Utusan Sarawak 10 hours ago
KETUA jurulatih Maghribi, Mohamed Ouahbi, memberikan isyarat ketika perlawanan suku akhir kejohanan bola sepak Piala Dunia 2026 antara Perancis dan Maghribi di Stadium Boston, Foxborough pada 9 Julai 2026. Foto AFP

FOXBOROUGH, Amerika Syarikat: Ketua jurulatih Maghribi, Mohamed Ouahbi, bertekad untuk membawa pasukannya bangkit lebih kuat selepas tersingkir pada suku akhir Piala Dunia, sambil meneruskan usaha memperkukuh skuad sebagai persiapan menjelang penganjuran bersama kejohanan itu pada 2030.

Skuad Atlas Lions berharap sekurang-kurangnya dapat mengulangi pencapaian bersejarah mara ke separuh akhir di Qatar pada 2022. Namun, sekali lagi impian mereka di pentas Piala Dunia berakhir di tangan Perancis.

Kekalahan 2-0 di Stadium Gillette, berhampiran Boston, mengulangi keputusan ketika kedua-dua pasukan bertemu pada separuh akhir empat tahun lalu, sekali gus memaksa Maghribi mengalihkan tumpuan kepada cabaran seterusnya selepas mengharungi tujuh bulan yang penuh mencabar.

“Perancis ialah sebuah pasukan yang amat hebat. Kami menentang negara yang beraksi dalam dua perlawanan akhir Piala Dunia berturut-turut dan mereka kini memiliki antara barisan pemain paling berbakat yang pernah dimiliki,” kata Ouahbi selepas perlawanan suku akhir itu yang ditentukan menerusi jaringan babak kedua oleh Kylian Mbappe dan Ousmane Dembele.

“Kami tahu kami mampu bersaing dan apa yang kami mahu lakukan ialah bekerja lebih keras bagi mencapai keputusan yang lebih baik pada masa hadapan.”

Sehari sebelum perlawanan, Ouahbi menegaskan beliau tidak menganggap penyingkiran pada suku akhir sebagai satu kejayaan.

“Saya berpendapat adalah penting untuk melakukan segala-galanya demi mencapai kemenangan dan saya percaya kami telah berusaha sedaya upaya,” katanya.

“Kami mahu melangkah lebih jauh serta menjuarai Piala Dunia. Kami sudah tentu kecewa kerana tewas, namun kami perlu menerima hakikat tersebut.”

Ouahbi dilantik pada Mac lalu bagi menggantikan Walid Regragui yang berundur selepas membawa Maghribi mara ke perlawanan akhir Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) di laman sendiri pada awal tahun ini.

Maghribi merupakan pasukan pilihan untuk muncul juara kejohanan itu, namun tewas 1-0 kepada Senegal selepas masa tambahan dalam perlawanan akhir yang dicemari kontroversi apabila lawan bertindak meninggalkan padang sebagai bantahan terhadap sepakan penalti yang diberikan kepada tuan rumah.

Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF) kemudiannya melucutkan kejuaraan Senegal sebagai hukuman susulan insiden tersebut. Maghribi diisytiharkan sebagai juara, namun rayuan Senegal di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) masih belum diputuskan.

Tumpuan Kepada AFCON

Satu lagi edisi AFCON akan berlangsung tahun depan di Kenya, Uganda dan Tanzania, dan kejohanan itu menjadi sasaran utama Maghribi dengan kempen kelayakan dijadual bermula pada September ini.

Ouahbi menegaskan keutamaan pasukannya kini ialah menghadapi AFCON sebelum mengalihkan tumpuan kepada Piala Dunia 2030 yang akan dianjurkan bersama Sepanyol dan Portugal.

“Sebelum itu, kami perlu mengharungi AFCON. Jika mahu berjaya, kami perlu terus membina pasukan, melayakkan diri ke kejohanan itu dan seterusnya muncul juara,” katanya.

“Kami mempunyai kelompok pemain berbakat yang amat besar serta sebuah persekutuan bola sepak yang kukuh. Kami memiliki segala yang diperlukan untuk terus berkembang dan melangkah ke hadapan.”

Kesebelasan utama Maghribi ketika menentang Perancis dibarisi ramai pemain muda berbakat, termasuk pemain tengah remaja kelahiran Perancis, Ayyoub Bouaddi. Namun, mereka gagal menandingi kehebatan lawan.

“Kami perlu mengakui bahawa mereka ialah sebuah pasukan yang sangat baik. Mereka sebenarnya mampu menjaringkan gol lebih awal, namun kami cuba bertahan selama mungkin dan melihat bagaimana mereka bertindak balas,” katanya.

“Kami mempunyai pasukan muda yang berbakat dan mahu terus meningkatkan prestasi. Kejohanan ini akan membantu kami menjadi lebih baik.

“Pemain-pemain ini telah mengharungi musim yang luar biasa dengan AFCON berlangsung di pertengahan musim, justeru keadaan itu bukan sesuatu yang mudah.

“Kami perlu bangkit semula pada September nanti, memperkukuh semangat dan meneruskan perjuangan.” — AFP

Tags: Sukan

Continue Reading

Previous: Deschamps puji Mbappe selepas bawa Perancis ke separuh akhir
Next: Quansah digantung dua perlawanan susulan kad merah ketika menentang Mexico

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.