
BETONG: Tindakan pantas Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Betong berjaya mengalihkan sebatang pokok tumbang yang menghalang laluan di Jalan Nanga Padeh, sekali gus memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan memulihkan semula kelancaran trafik di kawasan berkenaan.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Betong, Kapten Mohammad Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 6.24 petang memaklumkan kejadian pokok tumbang yang menghalang laluan utama menuju ke Betong.
Beliau berkata, pengadu memaklumkan kejadian itu berlaku ketika beliau dalam perjalanan pulang dari tempat kerja ke rumah sebelum bertindak segera menghubungi APM bagi mendapatkan bantuan.
Menurutnya, sejurus menerima maklumat, seramai tiga anggota APM Betong digerakkan ke lokasi kejadian dengan menggunakan sebuah JMC Light Rescue Vehicle (LRV) bersama kelengkapan operasi termasuk peralatan perlindungan diri (PPE) dan gergaji berantai.
“Sebaik tiba di lokasi, anggota terlebih dahulu memakai PPE yang lengkap sebelum menjalankan kerja-kerja memotong dan mengalihkan pokok tumbang bagi memastikan operasi dilaksanakan secara selamat serta mengikut prosedur operasi standard,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil tindakan pantas pasukan operasi, pokok yang menghalang laluan berjaya dialihkan sepenuhnya dan jalan tersebut kembali boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan tanpa sebarang halangan.
Katanya, operasi ditamatkan dengan selamat selepas kawasan dipastikan berada dalam keadaan terkawal.
Kapten Mohammad Noor turut merakamkan penghargaan kepada orang awam yang bertindak segera melaporkan kejadian berkenaan, sambil menegaskan bahawa kerjasama masyarakat amat penting bagi membolehkan tindakan pantas diambil dalam menangani sebarang kecemasan demi keselamatan dan kesejahteraan semua.
Oleh Adi Safarman