Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Eksklusif: Kelazatan Burasak Kampung Rangawan terus menambat hati pelanggan
  • Selatan
  • WILAYAH

Eksklusif: Kelazatan Burasak Kampung Rangawan terus menambat hati pelanggan

Utusan Sarawak 7 hours ago
KECEKALAN Seri Rahayu mengusahakan jualan burasak di Pasar Kampung Pendam bukan sekadar mencari rezeki, malah menjadi usaha berterusan memelihara warisan makanan tradisional agar terus hidup dan dikenali generasi akan datang. Foto Shikin Mahmud

ASAJAYA: Di saat makanan tradisional semakin sukar ditemui di pasaran, seorang peniaga wanita di Kampung Rangawan terus cekal menghasilkan burasak bagi memastikan warisan kulinari ini tidak hilang ditelan zaman.

Seri Rahayu, 42, telah berkecimpung dalam perniagaan menjual burasak di Pasar Kampung Pendam sejak dua tahun yang lalu.

Menariknya, hidangan yang pada asalnya merupakan identiti dan makanan tradisi masyarakat Bugis ini, kini turut dipelajari serta dihasilkan oleh masyarakat Melayu.

Menurut Seri, setiap ikat burasak yang dihasilkan bukan sekadar juadah untuk dijual, tetapi juga usaha memelihara resipi tradisi yang dipelajarinya daripada kakak iparnya yang juga berasal dari situ.

Menurut beliau, penyediaan burasak memerlukan kesabaran yang tinggi kerana setiap satu perlu dibalut menggunakan daun pisang dan direbus selama kira-kira lapan jam bagi memastikan ia masak sempurna serta tahan lebih lama.

SERI Rahayu menunjukkan burasak yang dihasilkannya di gerai Pasar Kampung Pendam. Kecekalannya meneruskan jualan makanan tradisional itu membantu memastikan warisan kulinari terus kekal relevan dan mendapat tempat di hati pelanggan. Foto Shikin Mahmud.

“Tidak boleh guna daun lain. Asal burasak ini memang hanya menggunakan daun pisang sahaja”, katanya.

Walaupun proses penyediaannya agak rumit dan dilakukan secara bersendirian setiap hari, Seri berkata sambutan daripada pelanggan tidak pernah mengecewakannya.

“Alhamdulillah, setiap hari saya boleh menjual sehingga 50 ikat burasak. Setiap ikat mengandungi lima keping burasak,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak di Pasar Kampung Pendam.

Katanya, pelanggan bukan sahaja terdiri daripada penduduk sekitar Kampung Pendam, malah ada yang datang dari Kuching, Samarahan dan Siburan. Malah, ada juga pelanggan yang membawa pulang burasak tersebut hingga ke Sibu.

BURASAK yang dibungkus menggunakan daun pisang dan direbus selama kira-kira lapan jam terus menjadi pilihan pelanggan kerana keenakan rasanya serta mengekalkan keaslian resipi tradisional. Dijual RM7 satu ikat. Foto Shikin Mahmud.

Seri berkata, burasak paling sedap dinikmati bersama lauk berkuah seperti kari, terutama kari kambing, namun rasanya tetap enak walaupun dimakan begitu sahaja.

Kecekalan Seri meneruskan penghasilan burasak membuktikan makanan tradisional masih mempunyai tempat di hati masyarakat.

Di sebalik setiap ikat yang dijual, tersimpan usaha seorang wanita yang gigih mempertahankan warisan kulinari agar terus dikenali dan dinikmati oleh generasi akan datang.

Oleh Shikin Mahmud

Continue Reading

Previous: SMK Bintulu pertahan kejuaraan keseluruhan empat tahun berturut-turut
Next: 78 mahasiswa Politeknik Betong sertai ceramah pencegahan penipuan dalam talian

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.