Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • 22 anak pekerja migran Indonesia di Sarawak lanjut pelajaran ke Indonesia
  • TEMPATAN

22 anak pekerja migran Indonesia di Sarawak lanjut pelajaran ke Indonesia

Utusan Sarawak 7 hours ago
SERAMAI 22 pelajar penerima Biasiswa GEMA CITA 2026 bersama rombongan dari Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) Kuching sebelum bertolak ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu-Entikong untuk meneruskan perjalanan ke Indonesia.

TEBEDU: Seramai 22 pelajar daripada Pusat Pembelajaran Komuniti (CLC) di seluruh Sarawak menerima Biasiswa GEMA CITA 2026 bagi melanjutkan pengajian peringkat menengah di Indonesia.

Mereka dilepaskan secara rasmi oleh Konsul Jeneral Republik Indonesia di Kuching, Abdullah Zulkifli di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu–Entikong, semalam.

Dalam ucapannya, Abdullah menegaskan bahawa biasiswa berkenaan merupakan amanah dan peluang berharga untuk para pelajar mengembangkan potensi diri sebelum kembali berbakti kepada masyarakat dan negara.

KONSUL Jeneral Republik Indonesia di Kuching, Abdullah Zulkifli bersama 22 pelajar CLC di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu–Entikong, semalam.

“Pendidikan adalah sayap yang akan membawa kalian terbang jauh atau pulang untuk berbakti. Oleh itu, perkuatkan sayap tersebut dengan menuntut ilmu dan membina sahsiah diri,” katanya melalui kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Penerima biasiswa itu merupakan anak pekerja migran Indonesia yang menamatkan persekolahan di sembilan CLC di Sarawak. Mereka akan menyambung pengajian di sekolah menengah, sekolah menengah vokasional dan madrasah aliyah di enam wilayah di Indonesia.

Abdullah turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Sarawak yang terus menyokong penubuhan dan pengoperasian CLC sebagai saluran pendidikan kepada anak-anak pekerja migran Indonesia di Sarawak.

Menurut beliau, sokongan berkenaan menjadi asas penting kepada kelangsungan pendidikan di CLC serta membuka peluang kepada para lulusannya untuk melanjutkan pelajaran di tanah air.

Katanya, kerajaan Indonesia akan terus memperluas akses pendidikan kepada rakyatnya di luar negara melalui pengukuhan CLC, penyediaan perkhidmatan pendidikan dan penempatan pelajar di institusi pendidikan di Indonesia.

Program Biasiswa GEMA CITA merupakan hasil kerjasama pelbagai pihak bagi memastikan anak-anak pekerja migran Indonesia di Sarawak memperoleh pendidikan berkualiti dan berpeluang menyumbang kepada pembangunan negara pada masa hadapan.

Oleh Afiq Sallehi

Continue Reading

Previous: 54 pelajar, guru SK Klua sertai latihan APM, tingkat kemahiran hadapi kecemasan
Next: Roy Gingkoi gesa pembangunan luar bandar lebih menyeluruh, bukan sekadar bina jalan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.