
SIBU: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg tiba di sebuah hotel di sini kira-kira 6.00 petang tadi bersama konvoi bermotosikal dari Jambatan Batang Lupar 1, sekali gus menandakan permulaan Program Sarawakku Sayang (SKS) Peringkat Bahagian Sibu yang berlangsung selama tiga hari bermula esok hingga 12 Julai.
Program berkonsepkan ‘One Stop Centre’ itu menghimpunkan pelbagai kementerian, jabatan dan agensi kerajaan di bawah satu bumbung bagi memudahkan rakyat mendapatkan pelbagai perkhidmatan secara terus.
Sibu merupakan destinasi kelima jelajah SKS 2026 dan dijangka menarik kehadiran masyarakat dari seluruh Zon Tengah, dengan penyertaan 47 agensi kerajaan yang menyediakan 158 kaunter perkhidmatan di Dataran Tun Tuanku Haji Bujang.
Antara perkhidmatan yang disediakan ialah permohonan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES), bantuan kebajikan, peluang pekerjaan menerusi JobSarawak, saringan kesihatan, khidmat kaunseling serta pelbagai inisiatif kerajaan Sarawak.

Program itu turut menampilkan Sarawak Pavilion yang mempamerkan pelbagai projek pembangunan negeri, selain Sibu Kitchen & Sales yang menjadi platform kepada usahawan tempatan memasarkan produk dan mengetengahkan makanan ikonik Bahagian Sibu.
Sepanjang penganjuran program, pelbagai aktiviti disusun termasuk Malam Budaya Sarawak pada 10 Julai yang mengetengahkan kepelbagaian warisan etnik menerusi persembahan artis tempatan.
Kemuncak program ialah majlis perasmian yang akan disempurnakan Abang Johari pada Sabtu ini pada 10.30 pagi, diikuti Konsert Rakyat pada sebelah malam yang menampilkan barisan penyanyi terkenal dari Sarawak dan tanah air.
Selepas Sibu, jelajah SKS 2026 akan diteruskan di Kompleks Sukan Sarikei dari 7 hingga 9 Ogos, di Dataran Pehin Sri Raja, Mukah dari 28 hingga 30 Ogos dan berakhir di Kompleks Sukan Betong dari 4 hingga 6 September depan.
Turut mengiringi Premier Sarawak ialah Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Ir Aidel Lariwoo serta Timbalan Menteri Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Snowdan Lawan.
Oleh Akun Giman