
SARIKEI: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menunaikan solat Asar bersama jemaah di Masjid Al-Muttaqin sebelum menyantuni masyarakat pada majlis Jamuan Teh yang berlangsung di dewan masjid tersebut, hari ini.
Beliau tiba di pekarangan Masjid Al-Muttaqin menggunakan motosikal berkuasa tinggi kira-kira 3.50 petang sebelum menunaikan solat Asar pada 4.06 petang.
Sejurus selesai solat, Premier Sarawak menghadiri majlis Jamuan Teh sempena Konvoi Bermotosikal Premier Sarawak dari Jambatan Batang Lupar 1 ke Sibu.
Majlis Jamuan Teh menjadi platform mengeratkan hubungan silaturahim antara kepimpinan negeri dengan masyarakat setempat.
Majlis tersebut berlangsung dalam suasana mesra dengan kehadiran pemimpin-pemimpin negeri serta ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) bagi menyambut ketibaan Premier Sarawak.
Ia mencerminkan pendekatan kepimpinan kerajaan negeri yang sentiasa mendekati rakyat melalui aktiviti kemasyarakatan dan keagamaan.
Selain mengeratkan ukhuwah, majlis tersebut turut memberi peluang kepada masyarakat untuk berinteraksi secara lebih dekat dengan barisan kepimpinan negeri.
Ia berlangsung dengan lancar hasil kerjasama pelbagai agensi yang terlibat dalam aspek keselamatan, logistik dan penyelarasan program.
Kehadiran Premier Sarawak menyerlahkan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam memperkukuhkan hubungan dengan masyarakat.
Beliau kemudiannya bertolak ke Sibu kira-kira 5.05 petang bagi meneruskan jadual rasmi beliau.
Turut hadir Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh; Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan ADUN Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii; ADUN Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing; ADUN Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom; dan ADUN Meluan, Dato Rolland Duat Jubin.
Oleh Earl Anek