
SEBUYAU: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberi bayangan bahawa tambang penerbangan AirBorneo bagi laluan Kuching-Kuala Lumpur yang ditetapkan pada kadar RM375 sehala berkemungkinan diturunkan lagi pada masa depan sekiranya kedudukan kewangan mengizinkan.
Menurut beliau, langkah itu akan dipertimbangkan sekiranya kedudukan kewangan syarikat mengizinkan, selaras dengan matlamat penubuhan AirBorneo yang lebih mengutamakan kebajikan rakyat berbanding keuntungan.
“Kalau saya ada rezeki, mungkin saya akan mempertimbangkan untuk mengurangkan lagi tambang itu bagi manfaat rakyat Sarawak,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Jambatan Batang Lupar 1, di sini, hari ini.
Abang Johari berkata, AirBorneo diwujudkan bukan semata-mata sebagai entiti komersial, sebaliknya bagi menyediakan perkhidmatan penerbangan yang mampu dimiliki rakyat serta memperkukuh hubungan antara Sarawak dengan destinasi lain.
Menurutnya, syarikat penerbangan itu turut berperanan menghubungkan rakyat di seluruh Sarawak di samping memperluaskan rangkaian penerbangan ke destinasi di luar Borneo.
Beliau berkata, kadar tambang RM375 bagi laluan Kuching-Kuala Lumpur adalah berpatutan kerana turut merangkumi kemudahan bagasi berdaftar serta hidangan makanan dan minuman sepanjang penerbangan.
Katanya, kerajaan negeri memahami kesukaran yang dihadapi rakyat Sarawak apabila harga tiket penerbangan meningkat mendadak setiap kali musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Hari Gawai dan Tahun Baharu Cina.
“Kita sedar ramai rakyat Sarawak yang bekerja di Semenanjung terpaksa membayar tambang yang tinggi untuk pulang ke kampung halaman apabila tiba musim perayaan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan kerajaan negeri komited memastikan AirBorneo terus menawarkan tambang yang berpatutan bagi mengurangkan beban kos perjalanan rakyat, khususnya mereka yang kerap berulang-alik antara Sarawak dan Semenanjung Malaysia.
“Selagi saya menjadi Premier Sarawak, saya tidak akan membenarkan AirBorneo menaikkan harga tiket penerbangannya,” tegas beliau.
Beliau berkata, AirBorneo akan terus dipacu sebagai syarikat penerbangan milik negeri yang mengutamakan kepentingan rakyat dengan menawarkan perkhidmatan berkualiti pada harga yang mampu dimiliki, sekali gus memastikan lebih ramai rakyat Sarawak menikmati akses kepada pengangkutan udara yang lebih adil dan berpatutan.