
SEBUYAU: Jambatan-jambatan utama di Sarawak direka dengan jangka hayat perkhidmatan sekitar 100 tahun dan tempoh itu berpotensi dilanjutkan sehingga 150 tahun menerusi penyelenggaraan yang rapi serta pemantauan berterusan.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Datu Dr. Cassidy Morris, berkata langkah itu akan disokong oleh pelaksanaan sistem pemantauan kesihatan struktur bagi jambatan-jambatan mega di negeri ini.
Menurut beliau, sistem berkenaan membolehkan keadaan struktur dipantau secara berkala sekali gus memastikan tahap keselamatan dan integriti jambatan sentiasa berada pada tahap optimum.
Katanya, faktor risiko bencana alam, termasuk banjir, turut diberi perhatian dalam reka bentuk setiap jambatan.
“Jambatan dibina pada ketinggian antara 23 hingga 26 meter mengikut kesesuaian lokasi. Justeru, risiko limpahan banjir yang boleh menjejaskan struktur telah diambil kira sejak peringkat reka bentuk lagi,” katanya ketika mengulas mengenai Jambatan Batang Lupar 1 selepas majlis perasmiannya, hari ini.
Beliau menambah, kerja penyelenggaraan dilaksanakan secara berterusan, termasuk pemeriksaan bulanan, dan akan diperkukuh lagi menerusi penubuhan sistem pemantauan kesihatan jambatan dalam masa terdekat.
Untuk rekod, Jambatan Batang Lupar 1 merupakan antara jambatan utama yang dibangunkan di bawah inisiatif pembinaan jambatan pesisir Sarawak bagi meningkatkan hubungan darat serta merancakkan pembangunan sosioekonomi di kawasan pesisir negeri ini.
oleh Afiq Sallehi