Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • RENCANA
  • Airbnb: Rakyat Malaysia amalkan sikap jiran baik ketika bercuti
  • RENCANA

Airbnb: Rakyat Malaysia amalkan sikap jiran baik ketika bercuti

Utusan Sarawak 8 hours ago
INFOGRAFIK Airbnd.

KUALA LUMPUR: Kebanyakan rakyat Malaysia mengamalkan adab yang dianggap lumrah, seperti membuka kasut sebelum memasuki rumah, menjaga tahap kebisingan selepas 10.00 malam, meminta izin sebelum membawa durian ke rumah orang, dan yang paling penting, tidak mengganggu ketenteraman jiran.

Tinjauan terbaharu oleh YouGov yang dijalankan atas permintaan Airbnb mendapati amalan tersebut bukan sahaja dipraktikkan di rumah, malah turut dibawa bersama ketika melancong.

Tinjauan yang melibatkan 1,000 rakyat Malaysia yang pernah menginap di inap desa di negara ini dalam tempoh setahun lalu mendapati 85 peratus responden menganggap sikap menghormati orang lain sebagai ciri utama tetamu inap desa yang baik, manakala sembilan daripada 10 responden menggambarkan diri mereka sebagai tetamu yang baik atau cemerlang.

Namun, apa yang membezakan pelancong Malaysia bukan sekadar tingkah laku mereka, tetapi nilai yang mendorongnya.

Faktor utama yang mendorong mereka berkelakuan baik ialah akal budi (61 peratus), rasa hormat terhadap hos (60 peratus) dan nilai peribadi (59 peratus).

Bagi rakyat Malaysia, tingkah laku ini melangkaui sekadar adab sebagai tetamu. Menurut mereka, sikap bertimbang rasa sebagai tetamu mencerminkan nilai hormat-menghormati dan keprihatinan yang sudah sebati dalam identiti masyarakat Malaysia.

Seramai 82 peratus berkata mereka akan berasa bersalah sekiranya tindakan mereka mengganggu jiran semasa menginap, manakala empat daripada lima merasakan mereka bertanggungjawab terhadap komuniti di sekeliling mereka.

NFOGRAFIK Airbnd.

Rakyat Malaysia bukan sekadar berbudi bahasa, malah sanggup melangkah lebih jauh

Niat yang baik ternyata diterjemahkan melalui tindakan. Kira-kira 60 peratus responden secara konsisten menunjukkan sikap bertimbang rasa sepanjang penginapan, termasuk mengurangkan bunyi pada waktu malam, meletakkan kenderaan tanpa menghalang orang lain, mematuhi peraturan rumah serta membuang sampah dengan betul.

Dua pertiga responden pula sanggup melakukan lebih daripada yang diwajibkan oleh peraturan rumah. Sepanjang penginapan inap desa mereka yang terkini, majoriti membasuh semua pinggan mangkuk sebelum daftar keluar, membuang sampah dan mengemas ruang penginapan.

Malah, ada yang meninggalkan nota penghargaan kepada hos, menyiram pokok bunga atau mengemas melebihi kawasan yang digunakan.

Selain itu, 77 peratus berkata mereka sentiasa menyemak peraturan rumah sebelum atau pada awal penginapan, bukan kerana diwajibkan, tetapi untuk memastikan mereka melakukan perkara yang betul.

Amalan-amalan harian ini menunjukkan bahawa ramai rakyat Malaysia melihat penginapan sewaan jangka pendek dan inap desa bukan sekadar tempat bermalam, tetapi juga peluang untuk menjadi tetamu yang baik di rumah seseorang serta sebahagian daripada komuniti setempat.

Dilema Durian

Sikap bertimbang rasa yang sama turut terserlah dalam ‘dilema durian’. Ketika musim durian dan harga berada pada paras terendah dalam sejarah, persoalan lama kembali timbul: bagaimana menikmati raja buah itu tanpa mengganggu jiran di kediaman bersama?

Tinjauan ini menunjukkan rakyat Malaysia cukup peka terhadap isu makanan berbau kuat di bangunan berkongsi.

Lapan daripada 10 rakyat Malaysia memilih untuk meminta izin terlebih dahulu, menikmati durian di luar atau di kawasan parkir, atau langsung tidak membawanya ke ruang bersama tanpa kebenaran.

Walaupun kelihatan seperti perkara kecil, ia membuktikan rakyat Malaysia tidak memerlukan peraturan bagi setiap situasi, sebaliknya tahu menyesuaikan diri mengikut keadaan.

Penginapan Pilihan Rakyat Malaysia

Penginapan sewaan jangka pendek kini semakin sebati dengan cara rakyat Malaysia melancong serta kejiranan yang dikunjungi mereka.

Dalam kalangan responden, 60 peratus memilih penginapan sewaan jangka pendek atau inap desa kerana menawarkan nilai yang lebih berbaloi, manakala 46 peratus menghargai kemudahan seperti dapur dan dobi.

Selain itu, 44 peratus memilihnya kerana membolehkan mereka menginap secara berkumpulan.

Tinjauan ini turut menunjukkan bahawa konsep perkongsian kediaman semakin diterima dalam masyarakat.

Sebanyak 96 daripada responden tidak mempunyai bantahan yang ketara terhadap kewujudannya, manakala 71 peratus selesa mempunyai penginapan sedemikian sebagai jiran, sekali gus mencerminkan penerimaan yang semakin meluas dalam komuniti tempatan.

Hos Penuhi Harapan Tetamu

Data platform Airbnb turut menunjukkan trend yang sama. Antara Mac 2025 hingga Mac 2026, lebih 97 peratus penginapan di Malaysia berakhir tanpa sebarang aduan atau isu yang dilaporkan.

Dalam tempoh yang sama, jumlah penyenaraian Tetamu Pilihan penginapan yang diiktiraf kerana secara konsisten menawarkan pengalaman tetamu yang cemerlang meningkat lebih 40 peratus antara Mac 2024 hingga Mac 2026.

Apabila tetamu bersikap sebagai jiran yang baik, seluruh ekosistem turut meraih manfaat.

Bagi Airbnb, data ini menggambarkan satu realiti yang konsisten: sebuah komuniti yang mengambil berat dan berbangga dalam mewujudkan pengalaman penginapan yang positif, baik sebagai hos mahupun tetamu.

Ketua Negara Airbnb bagi Asia Tenggara dan India, Amanpreet Bajaj berkata, “Di Airbnb, pengalaman pelancongan yang paling bermakna tercipta apabila tetamu berasa dekat bukan sahaja dengan destinasi yang dikunjungi, tetapi juga dengan masyarakat dan komuniti di sekeliling mereka.

“Hubungan ini sering bermula daripada tindakan kecil yang mencerminkan sikap bertimbang rasa dan kebaikan hati nilai kejiranan yang sememangnya sinonim dengan rakyat Malaysia.

“Memandangkan semakin ramai memilih penginapan perkongsian untuk pelancongan berkumpulan dan pengalaman bersama, kami mahu terus memupuk budaya perjalanan yang saling menghormati dengan membantu pelancong tempatan dan antarabangsa memahami adat resam, jangkaan komuniti serta erti menjadi tetamu yang prihatin.

“Bersama-sama, kita dapat memastikan manfaat pelancongan bukan sahaja dinikmati oleh tetamu dan hos, malah turut dirasai oleh komuniti yang mengalu-alukan kehadiran mereka.”

Bantu Pelancong Jadi Jiran Baik

Sebagai sebahagian daripada komitmennya terhadap pelancongan yang bertanggungjawab, Airbnb telah melancarkan Panduan Tetamu yang Baik, panduan praktikal yang menawarkan tip untuk menikmati pengalaman di Malaysia seperti penduduk tempatan, sambil menjadi tetamu dan jiran yang menghormati komuniti setempat.

Panduan ini melengkapkan pelbagai langkah sedia ada yang dilaksanakan Airbnb, termasuk teknologi saringan tempahan, larangan penganjuran parti di peringkat global, serta Panduan Penginapan Bertanggungjawab di Bangunan.

Panduan tersebut menyediakan garis panduan tingkah laku, Talian Sokongan Kejiran dan rujukan undang-undang kecil berkaitan aktiviti sewaan jangka pendek untuk hos, tetamu dan komuniti strata di Malaysia.

Mulai Ogos 2026, panduan ini akan disediakan oleh hos pada penyenaraian mereka dan turut dihantar melalui e-mel kepada semua tetamu kali pertama yang membuat tempahan di Malaysia.

Tags: RENCANA

Continue Reading

Previous: Serangga ranting kian sukar ditemukan, perubahan habitat antara faktor dibimbangi

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.