
MEXICO CITY: Rafael Marquez dilantik sebagai ketua jurulatih Mexico menerusi kontrak sehingga 2030, menurut Persekutuan Bola Sepak Mexico (FMF) pada Rabu, lapor Xinhua.
Marquez, 47, menggantikan Javier Aguirre yang meletak jawatan selepas Mexico tewas 3-2 kepada England pada pusingan 16 terbaik Piala Dunia, Ahad lepas.
“Pelantikan Rafael Marquez adalah sebahagian daripada peralihan teratur yang dirancang dalam visi institusi FMF untuk meneruskan gerak kerja yang dilaksanakan sepanjang kitaran Piala Dunia lalu, memperkukuh pembangunan sukan skuad kebangsaan Mexico dan membuat persiapan menghadapi komitmen antarabangsa akan datang,” menurut kenyataan FMF.
Marquez, bekas pertahanan yang mencatat 148 penampilan bersama Mexico, merupakan sebahagian daripada barisan kejurulatihan Aguirre sejak Julai 2024.
FMF berkata Aguirre meninggalkan “legasi berkekalan” selepas mencatat 22 kemenangan, sembilan seri dan enam kekalahan dalam tempoh ketiganya mengendalikan skuad kebangsaan itu.
Sebagai satu daripada tiga negara tuan rumah Piala Dunia, Mexico memenangi empat perlawanan pertama tanpa bolos sebelum disingkirkan England.- Bernama-Xinhua