
BARAM: Kejohanan olahraga merupakan antara program tahunan yang sentiasa dinanti-nantikan oleh warga sekolah.
Kejohanan ini bukan sekadar pertandingan untuk menentukan juara, malah menjadi platform bagi memupuk semangat kesukanan, kerjasama, disiplin, ketahanan fizikal dan mental, serta nilai hormat-menghormati dalam kalangan pelajar.
Pengetua SMK Tutoh Apoh, Chan Wah Fook berkata, nilai inilah yang akan membentuk individu berdaya saing, berintegriti dan mampu menghadapi cabaran masa hadapan.

Beliau mengingatkan semua peserta agar bertanding dengan penuh bersemangat, mematuhi setiap peraturan pertandingan serta sentiasa menjunjung tinggi semangat.
Katanya, jadikan kejohanan ini sebagai medan untuk menguji kemampuan diri, mengeratkan hubungan antara kawan dan membina keyakinan bukannya semata-mata mengejar kemangnan.
“Ingatlah bahawa setiap usaha yang bersunguh-sungguh adalah satu kejayaan yang patut dibanggakan” tambah Chan ketika berucap pada Kejohanan Olahraga SMK Tutoh Apoh di padang sekolah berkenaan semalam.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada barisan pentadbir, guru, anggota kumpulan pelaksana, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), ibu bapa serta semua ahli jawatankuasa yang telah bertungkus-lumus merancang dan membuat pelbagai persiapan bagi memastikan kejohanan ini dapat berlangsung dengan lancar dan teratur.
Beliau dengan bangga memuji semangat dan komitmen yang tinggi telah ditunjukkan oleh seluruh warga SMK Tutoh Apoh dalam menjayakan program sekolah.

Beliau berharap Kejohanan Olahraga Tahunan Kali Ke-41 ini menjadi platform untuk mencungkil bakat baharu, memperkukuh perpaduan serta meninggalkan kenangan manis kepada seluruh warga SMK Tutoh Apoh.
Pada kejohanan itu, David Ding dan Reeona Llysa Jerry masing-masing diumumkan sebagai olahragawan dan olahragawati.
Sementara itu, keputusan Pertandingan Perbarisan Kontinjen Rumah Sukan sempena SUKTA Ke-41 menyaksikan Rumah Sukan Apoh muncul juara, diikuti Rumah Sukan Tutoh di tempat kedua dan Rumah Sukan Linei di tempat ketiga.
Bagi kategori juara keseluruhan Kejohanan Olahraga SMK Tutoh Apoh 2026, Kontinjen Tutoh dinobatkan sebagai juara selepas mengumpul 421 mata, diikuti Kontinjen Apoh dengan 407 mata, manakala Kontinjen Linei di tempat ketiga dengan 322 mata.
Oleh Jiku Juguong