Kylian Mbappé dari Perancis dan Achraf Hakimi dari Maghribi (kanan) menjelang pertembungan suku akhir Piala Dunia mereka di Boston awal pagi esok (waktu Malaysia) — Foto AFP
LOS ANGELES: Perancis akan menentang Maghribi pada 4 pagi esok (waktu Malaysia) dalam pertembungan suku akhir Piala Dunia yang dinanti-nantikan ketika edisi terbesar dan paling rumit dari segi logistik dalam sejarah kejohanan itu memasuki fasa penentuan.
Selepas sebulan aksi mendebarkan yang menyaksikan 280 gol dijaringkan dalam 96 perlawanan, saingan yang bermula dengan 48 pasukan kini hanya tinggal lapan negara yang masih mengimpikan kejuaraan menjelang final pada 3 pagi Isnin, 20 Julai ini (waktu Malaysia) di East Rutherford.
Perancis, yang dianggap pasukan paling menyerlah setakat ini, membuka tirai suku akhir menentang juara Afrika, Maghribi di Stadium Gillette dekat Boston dalam ulangan pertemuan separuh akhir Piala Dunia 2022 antara kedua-dua pasukan.
Kekalahan buat Les Bleus akan menandakan berakhirnya era jurulatih Didier Deschamps yang bakal mengundurkan diri selepas 14 tahun memimpin Perancis dengan cemerlang sebaik tamat kejohanan ini.
Deschamps, antara tiga individu yang pernah memenangi Piala Dunia sebagai pemain dan jurulatih, berkata beliau tidak memikirkan legasi peribadinya.
“Saya langsung tidak memikirkan perkara itu. Fokus saya bersama barisan kejurulatihan hanyalah memastikan segala-galanya berjalan lancar. Saya hanya tertumpu kepada pasukan Maghribi dan memastikan kami bermain dengan baik,” katanya.
Jurulatih Perancis itu turut menolak kebimbangan yang tular di media sosial mengenai pelantikan pengadil Argentina, Facundo Tello, yang didakwa boleh menjejaskan peluang pasukannya.
Perancis dan Argentina dilihat berada di landasan untuk bertemu di final, mengulangi aksi penentuan 2022 yang dimenangi wakil Amerika Selatan itu.
“Selalu ada keputusan yang boleh menimbulkan perdebatan bergantung kepada pihak mana anda berada, tetapi lawan kami ialah Maghribi,” kata Deschamps. “Saya tidak menganggap pengadil sebagai lawan.”
Maghribi memiliki kemampuan untuk menguji kekuatan Perancis dengan gabungan kualiti teknikal, fizikal dan kecerdikan taktikal di bawah bimbingan Mohamed Ouahbi.
“Mereka pasukan yang sangat baik dengan pemain berkualiti dan bukan berada di sini secara kebetulan. Ini akan menjadi pertembungan dua pasukan yang gemar menguasai bola, menyerang dan menjaringkan gol.”
Pemenang perlawanan itu akan bertemu juara Eropah, Sepanyol atau Belgium di separuh akhir selepas kedua-dua pasukan berentap di Los Angeles pada Jumaat.
Sepanyol yang masih belum dibolosi gol setakat ini menyingkirkan Portugal yang diketuai Cristiano Ronaldo pada pusingan 16 terbaik dan dilihat memiliki peluang cerah menewaskan Belgium, yang membelasah Amerika Syarikat 4-1.
Argentina hampir tersingkir
Di bahagian lain undian, juara bertahan Argentina akan menentang Switzerland di Kansas City pada 9 pagi Ahad ini (waktu Malaysia) selepas hampir tersingkir.
Argentina memburu gelaran berturut-turut pertama sejak Brazil pada 1962 dan dikejutkan Cape Verde pada pusingan 32 terakhir.
Pada Selasa, Lionel Messi mencetus kebangkitan luar biasa ketika Argentina menewaskan Mesir 3-2 di Atlanta selepas ketinggalan dua gol lewat permainan.
Messi yang gagal menyempurnakan sepakan penalti pada babak pertama berkata:
“Kami tidak mahu hari ini menjadi penamat. Kami tidak mahu pulang.”
Pemenang perlawanan Argentina-Switzerland akan bertemu Norway atau England yang beraksi di Miami.
England mara selepas menewaskan tuan rumah bersama, Mexico 3-2 dalam perlawanan mendebarkan di Stadium Azteca, sekali gus menyuntik keyakinan baharu buat The Three Lions untuk memburu trofi utama pertama sejak 1966.
Namun laluan England dihalang Norway yang dipimpin penyerang sensasi, Erling Haaland, yang menjaringkan kedua-dua gol ketika menewaskan Brazil pada pusingan 16 terbaik Ahad lalu. – AFP