Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • BISNES
  • Sarawak kini magnet pelabur asing
  • BISNES

Sarawak kini magnet pelabur asing

Utusan Sarawak 11 hours ago
DATUK Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika ditemui media selepas majlis Anugerah Kecemerlangan Vendor Sarawak Energy 2026 malam tadi.

KUCHING: Sarawak semakin mendapat perhatian pelabur antarabangsa apabila visi negeri dalam membangunkan ekonomi masa depan berasaskan tenaga, teknologi dan industri bernilai tinggi mula membuka ruang kerjasama baharu, termasuk dalam bidang pembiayaan hijau.​

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perkara itu antara yang dibincangkan ketika menerima kunjungan pengurusan Bank Pembangunan Asia (ADB) dari Manila baru-baru ini yang melihat peluang untuk menyokong pembangunan strategik negeri melalui pendekatan pembiayaan hijau.​

Menurut Abang Johari, minat daripada pihak ADB serta beberapa institusi kewangan lain menunjukkan keyakinan global yang tinggi terhadap hala tuju Sarawak yang kini memberi tumpuan penuh kepada pembangunan sektor tenaga, teknologi dan ekonomi baharu.​

Katanya, antara projek strategik yang menjadi tumpuan utama ialah pembangunan Tanjung Embang yang mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai kawasan pertumbuhan baharu berikutan kelebihan kedudukan serta kemudahan infrastruktur yang bakal menyokong aktiviti ekonomi.​

Beliau berkata, gabungan kemudahan pelabuhan laut dan lapangan terbang di kawasan itu akan menjadi pemangkin kepada peningkatan ketersambungan Sarawak dengan rantau Asia, sekali gus membuka peluang kepada perkembangan perkhidmatan dan industri masa hadapan.​

“Pelabuhan laut dan lapangan terbang ini akan mengembangkan perkhidmatan serta hubungan kita dalam Asia kerana kita berada di tengah-tengah Asia,” katanya ketika ditemui media selepas majlis Anugerah Kecemerlangan Vendor Sarawak Energy 2026 di sini, malam tadi.

Abang Johari berkata, selain kelebihan sumber tenaga, kekuatan modal insan melalui pelaksanaan pendidikan percuma di peringkat negeri turut menjadi antara faktor utama yang menarik perhatian pelabur antarabangsa untuk membina tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Katanya, bidang seperti semikonduktor, teknologi tinggi dan industri berkaitan akan terus diberi perhatian bagi membentuk ekosistem industri bernilai tinggi, dengan perkembangan Western Digital sebagai antara contoh kejayaan kluster teknologi masa depan tersebut.​

Dalam perkembangan berkaitan teknologi digital, Abang Johari berkata evolusi kecerdasan buatan dijangka membawa perubahan besar terhadap landskap pusat data dalam tempoh lima tahun akan datang yang kini bergerak ke arah sistem tidak berpusat.

Katanya, trend itu memberi kelebihan besar kepada Sarawak yang mempunyai sumber tenaga kukuh untuk menyokong keperluan industri digital, memandangkan faktor tenaga kini menjadi pertimbangan utama dalam menentukan lokasi pembangunan teknologi berkenaan.​

Dalam pada itu, Abang Johari berkata Sarawak perlu berani meneroka perkara baharu berasaskan fakta dan data bumi melalui usaha melancarkan nanosatelit pertama Sarawak menggunakan teknologi CubeSat menjelang 2030 bagi membantu perancangan pembangunan negeri.​

Katanya, data berkenaan termasuk berpotensi membantu mengenal pasti sumber strategik seperti nadir bumi yang mempunyai nilai penting dalam industri moden termasuk magnet, semikonduktor dan teknologi satelit, walaupun jumlah sebenar dan nilainya masih perlu dikaji.

Sementara itu, beliau menegaskan pembangunan Tanjung Embang tidak akan digerakkan oleh kerajaan negeri semata-mata, sebaliknya memerlukan penyertaan aktif sektor swasta serta pemain industri untuk mengembangkan aktiviti ekonomi di kawasan berkenaan.​

Dalam aspek tenaga, Sarawak Energy Berhad (SEB) akan menyediakan kemudahan tenaga bagi menyokong pembangunan Tanjung Embang termasuk cadangan pembangunan dua turbin gas dengan kapasiti keseluruhan 1 gigawatt, dengan 500 megawatt diperuntukkan khusus untuk industri.

Oleh Afiq Sallehi

Tags: Bisnes

Continue Reading

Previous: Tanjung Embang: Kuasa baharu digital bakal memacu landskap teknologi Asean
Next: Ringgit meningkat berbanding dolar AS selepas minit mesyuarat Fed jejas unit negara maju

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.