
SRI AMAN: Projek pembinaan jajaran jalan raya sepanjang 28 kilometer yang menghubungkan Jambatan Batang Lupar 1 ke Jambatan Batang Lingga dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan 2027, sekali gus memperkukuh jaringan perhubungan di kawasan pesisir Sarawak.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Aidel Lariwoo berkata, projek bernilai RM494 juta di bawah jajaran Jalan Pesisir dan Jajaran Utama Kedua itu kini telah mencapai kemajuan fizikal sebanyak 79.19 peratus.
Menurutnya, projek tersebut hanya mengalami kelewatan sekitar enam peratus daripada jadual asal berikutan beberapa faktor teknikal, namun keseluruhan kerja tanah telah disiapkan dan kontraktor kini memberi tumpuan kepada kerja-kerja fasa akhir.
“Apabila jajaran jalan ini siap kelak, masa perjalanan antara Bahagian Sri Aman dan Lingga akan dipendekkan kepada kurang daripada 30 minit.
“Ini sekali gus meningkatkan jaringan perhubungan penduduk dari Sri Aman, Betong dan Samarahan sehingga ke Kuching,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak projek pembinaan jajaran jalan raya yang menghubungkan Jambatan Batang Lupar 1 ke Jambatan Batang Lingga, di sini, petang tadi.
Mengulas lanjut, beliau berkata projek itu menjadi yang pertama di Sarawak menggunakan teknologi beg air (water bag) bagi proses pemadatan tanah di kawasan paya gambut.
Menurut beliau, kaedah tersebut menggunakan beg berisi air sebagai beban bagi mempercepatkan proses mendapan tanah sebelum kerja pembinaan diteruskan, sekali gus memastikan struktur jalan lebih kukuh dan stabil.
“Ini adalah kali pertama teknik water bag diperkenalkan oleh pihak pemaju bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak perunding. Melalui kaedah ini, struktur jalan raya yang dihasilkan akan menjadi lebih kukuh serta bebas daripada masalah permukaan bergelombang.
“Sekiranya kadar mendapan tanah mencapai tahap yang dikehendaki lebih awal, beg air boleh dialihkan segera bagi membolehkan kerja pembinaan lapisan asas dan penurapan asfalt dilaksanakan. Ini memberi kemungkinan projek dapat disiapkan lebih awal daripada jangkaan asal,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya kaedah tersebut terbukti berkesan, JKR bersama pihak perunding akan mempertimbangkan penggunaannya dalam projek pembinaan jalan raya lain di kawasan bertanah lembut di seluruh Sarawak.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata kerajaan Sarawak terus komited meneroka kaedah alternatif bagi pembinaan infrastruktur di kawasan paya gambut, termasuk penggunaan jalan bertingkat atau viaduct.
Menurutnya, meskipun pembinaan jalan bertingkat memerlukan kos awal yang lebih tinggi, pendekatan itu mampu mengurangkan kos penyelenggaraan dalam jangka panjang kerana lebih berkesan mengatasi masalah mendapan tanah, sekali gus memastikan infrastruktur yang lebih mampan dan berkualiti untuk kegunaan rakyat.