Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • MBKS, DBKU digesa tingkatkan ketelusan sistem kutipan bayaran parkir digital
  • Selatan
  • WILAYAH

MBKS, DBKU digesa tingkatkan ketelusan sistem kutipan bayaran parkir digital

Utusan Sarawak 9 hours ago
KENDERAAN rondaan Pay&Go mengimbas nombor pendaftaran kenderaan bagi tujuan pengesahan bayaran parkir di sekitar Kuching.

KUCHING: Ketua Pemuda Sosialis Parti Tindakan Demokratik (DAPSY) Kuching, George Lam, menggesa Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) memperkukuh ketelusan serta akauntabiliti sistem kutipan bayaran parkir digital susulan aduan orang ramai mengenai caj parkir yang didakwa dikenakan tanpa disedari.

Lam berkata, orang ramai membangkitkan kebimbangan terhadap aplikasi Pay&Go apabila terdapat pengguna mendakwa hanya menyedari caj parkir atau notis lebih masa parkir selepas membuka aplikasi tersebut.

Menurutnya, pengguna pada masa kini tidak menerima pemberitahuan masa nyata apabila notis atau caj tambahan dikenakan. Sebaliknya, mereka perlu menyemak aplikasi secara manual untuk mengetahui status parkir masing-masing.

Beliau turut membangkitkan kebimbangan mengenai pengguna warga emas yang menggunakan sistem Sistem Pembayaran Mudah Warga Emas (EEP), yang membolehkan caj parkir ditolak secara automatik daripada baki simpanan mereka.

Katanya, ramai pengguna warga emas tidak kerap membuka aplikasi, menyebabkan mereka sukar mengetahui bila, di mana dan berapa jumlah yang telah ditolak daripada baki simpanan mereka.

Lam berkata, terdapat pengguna yang hanya menyedari baki mereka telah habis atau menjadi negatif selepas membuat semakan, sekali gus menyebabkan mereka mempunyai tunggakan bayaran parkir.

Menurutnya, keadaan itu berbeza berbanding sistem kupon parkir sebelum ini, yang membolehkan pemandu mengetahui dengan segera sekiranya mereka dikenakan notis atau kompaun apabila kembali ke kenderaan. Namun, di bawah sistem digital, pengguna hanya mengetahui kewujudan notis selepas menyemak aplikasi.

Beliau turut mempersoalkan ketiadaan bukti bergambar serta maklumat nombor petak parkir dalam aplikasi bagi menyokong dakwaan bahawa sesuatu kenderaan benar-benar melebihi tempoh parkir yang dibenarkan.

Sehubungan itu, beliau menggesa MBKS dan DBKU menjelaskan sama ada pengendali parkir mematuhi keperluan rondaan serta mengambil bukti bergambar sebelum mengeluarkan Notis Lebih Masa Parkir.

Beliau turut meminta penjelasan berhubung dakwaan bahawa sesetengah pemandu menerima notis walaupun telah meninggalkan petak parkir dalam tempoh yang dibenarkan, selain isu potongan berterusan yang melibatkan pengguna EEP.

Walaupun mengiktiraf kemudahan sistem parkir digital, Lam berkata isu yang perlu diberi perhatian ialah aspek ketelusan dan akauntabiliti dalam pelaksanaannya.

Katanya, pengguna tidak seharusnya dibebankan dengan proses rayuan yang rumit atau perlu mengemukakan pelbagai dokumen semata-mata untuk mempertikaikan caj parkir, terutama warga emas yang mungkin tidak mempunyai rekod sokongan.

Beliau menggesa kedua-dua pihak berkuasa tempatan memperkukuh pemantauan terhadap pengendali parkir dengan melaksanakan pemberitahuan masa nyata bagi setiap caj parkir dan notis lebih masa parkir, selain memaparkan bukti bergambar serta nombor petak parkir bagi menyokong sebarang caj tambahan.

Menurutnya, langkah itu akan meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap keadilan dan ketelusan sistem pengurusan parkir.

Lam menambah Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak akan terus memantau perkhidmatan kutipan bayaran parkir yang disediakan oleh pihak berkuasa tempatan bagi memastikan kepentingan rakyat sentiasa diberi keutamaan.

Oleh Connie Chieng

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: Program Ziarah Kasih perkukuh semangat prihatin terhadap kebajikan rakyat
Next: SK Keluru Tengah anjur Hari Keusahawanan PIBG 2.0 pada 25 Julai

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.