

SARIKEI: Seramai 33 Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Lembaga Pengurus Sekolah serta 12 badan bukan kerajaan (NGO) menerima geran khas Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebagai usaha memperkukuh pembangunan pendidikan dan memperkasakan pelaksanaan pelbagai program yang memberi manfaat kepada komuniti setempat.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato Sri Huang Tiong Sii, berkata peruntukan tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam menyokong pembangunan modal insan menerusi sektor pendidikan serta penglibatan aktif masyarakat.
“Pendidikan merupakan asas penting dalam melahirkan generasi yang berilmu, berdaya saing dan berakhlak mulia.
“Justeru, saya akan terus memberikan sokongan kepada sekolah dan PIBG bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif.
“PIBG memainkan peranan penting sebagai rakan strategik sekolah dalam membantu meningkatkan kualiti pendidikan serta membentuk sahsiah murid melalui pelbagai program yang bermanfaat,” katanya.

Tiong Sii yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok berkata demikian selepas menyampaikan geran khas MRP kepada wakil PIBG dan NGO di Pusat Khidmat Repok, hari ini.
Katanya, geran khas tersebut diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi menjayakan pelbagai aktiviti pendidikan, pembangunan sahsiah, kokurikulum serta program kemasyarakatan yang melibatkan pihak sekolah dan komuniti.
“Selain memperkasakan sektor pendidikan, pemberian geran kepada NGO turut bertujuan menyokong pelaksanaan program kebajikan, sosial, kesukarelawanan dan pembangunan masyarakat.
“Saya berharap semua penerima menguruskan peruntukan yang disalurkan secara berhemah, telus dan berintegriti supaya setiap program yang dirancang dapat dilaksanakan dengan berkesan serta memberi impak positif kepada masyarakat setempat,” katanya.
Oleh Earl Anek