
LUNDU: Seminar Kefahaman Undang-Undang Keluarga Islam Sarawak menjadi platform penting dalam meningkatkan pengetahuan masyarakat mengenai hak serta tanggungjawab menurut syariat Islam, khususnya berkaitan isu kekeluargaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Pehin Sri Adenan berkata, pendedahan sedemikian penting bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat mengenai hak yang diperuntukkan di bawah undang-undang Islam.
Beliau berkata, antara isu yang perlu diberi perhatian ialah pembahagian harta pusaka serta prosedur tuntutan selepas perceraian agar masyarakat memahami proses sebenar mengikut syariat.

“Adalah penting supaya tiada lagi kekeliruan dalam kalangan masyarakat, terutama mengenai pembahagian harta pusaka dan prosedur tuntutan selepas perceraian. Wanita juga perlu menyedari bahawa setiap hak mereka telah digariskan dengan jelas dalam al-Quran serta undang-undang sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Kefahaman Undang-Undang Keluarga Islam Sarawak sempena program Ziarah Marhabbah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) 1448H/2026M Zon Selatan di Dewan Serbaguna Mahligai Gading, hari ini.
Seminar anjuran Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak itu menghimpunkan 180 peserta terdiri daripada Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK), Ahli Jawatankuasa Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Tanjong Datu serta wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sekitar Lundu.
Dalam pada itu, Azizul Annuar merakamkan penghargaan kepada Jabatan Agama Islam Sarawak serta semua pihak yang menjayakan seminar berkenaan.

Beliau berharap peserta yang mengikuti seminar itu dapat menjadi ejen penyampai maklumat kepada masyarakat di kawasan masing-masing supaya lebih ramai memahami hak serta proses perundangan Syariah dengan tepat.
Pada majlis sama, beliau turut menegaskan komitmen Pusat Khidmat ADUN Tanjong Datu untuk terus bekerjasama dan menyokong program yang memberi manfaat kepada kesejahteraan masyarakat.
Sebagai tanda keprihatinan, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada 50 asnaf termasuk ibu tunggal dari Zon Sampadi, Lundu dan Sematan.