
KOTA SAMARAHAN: Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin, hari ini mengadakan lawatan kerja ke tapak pembinaan Depoh Rembus bagi meninjau perkembangan projek yang bakal menjadi hab utama operasi dan penyelenggaraan Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS).
Semasa lawatan itu, beliau menerima taklimat mengenai kemajuan pembinaan depoh berkenaan daripada Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Metro Sdn. Bhd., Mazli Mustaffa.
Dalam taklimat tersebut, Lee menegaskan komunikasi dan kerjasama erat antara Sarawak Metro dengan kontraktor pembinaan Depoh Rembus, AIU JV, perlu terus diperkukuh bagi memastikan projek berjalan lancar mengikut jadual.
Menurut beliau, kerjasama berterusan turut melibatkan kontraktor, penyedia utiliti serta jabatan dan agensi kerajaan berkaitan bagi mengurangkan gangguan terhadap perkhidmatan utiliti sepanjang tempoh pembinaan.
“Koordinasi yang rapat sebelum dan semasa pembinaan amat penting bagi meminimumkan gangguan kepada perkhidmatan utiliti serta memastikan projek dapat dilaksanakan dengan cekap.

“Saya percaya kerjasama berterusan antara semua pihak berkepentingan akan menyumbang kepada kejayaan pelaksanaan projek ini,” katanya.
Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya terus mengutamakan aspek keselamatan sepanjang tempoh pelaksanaan projek.
Sementara itu, Mazli berkata Sarawak Metro komited membangunkan Depoh Rembus mengikut piawaian operasi, teknikal dan keselamatan tertinggi bagi menyokong pengoperasian KUTS.
Katanya, depoh berkenaan bukan sahaja memenuhi keperluan teknikal dan keselamatan, malah direka bentuk bagi memastikan operasi harian Sistem Transit Aliran Autonomi (ART) dapat berjalan dengan cekap apabila perkhidmatan itu bermula.
Depoh Rembus yang terletak di Kota Samarahan akan menempatkan pusat pentadbiran dan kawalan operasi, bengkel mekanikal dan infrastruktur, kawasan parkir tren, landasan ujian, loji pengeluaran hidrogen serta kemudahan pengisian bahan api hidrogen.
Turut hadir Timbalan Menteri Pengangkutan (Penerbangan dan Jalan Raya), Jerip Susil.