
PADAWAN: Cadangan projek jalan yang menghubungkan Jalan Batu Kawa dengan Jalan Stephen Yong kini mendahului jadual pembinaan, dengan kemajuan kerja melepasi sasaran yang ditetapkan, kata Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Tan Kai.
Mewakili Timbalan Premier Datuk Amar Dr Sim Kui Hian semasa lawatan tapak bersama Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Aidel Lariwoo, Tan berkata projek itu telah mencapai kemajuan fizikal sebenar sebanyak 3.86 peratus berbanding sasaran 2.77 peratus, sekali gus mendahului jadual sebanyak 1.09 peratus.
Menurutnya, projek yang bermula pada 11 Februari tahun ini dijangka siap pada 10 Februari 2029 selepas tempoh pembinaan selama tiga tahun.
Jelas beliau, jalan baharu itu akan merangkumi jalan berkembar sepanjang 5.644 kilometer, sebuah jambatan konkrit bertetulang sepanjang 74.8 meter yang merentasi Sungai Moyan, serta sebuah lagi jambatan konkrit bertetulang sepanjang 280.8 meter yang merentasi Sungai Sarawak.
Selain itu, projek berkenaan turut melibatkan pembinaan pembetung dan sistem perparitan, pemasangan lampu jalan serta kerja-kerja pengalihan utiliti.
Tan berkata projek jalan itu dijangka meningkatkan kesalinghubungan antara Jalan Batu Kawa dengan Jalan Stephen Yong, di samping melancarkan aliran trafik serta menyokong pembangunan pada masa hadapan di kawasan sekitarnya.
Oleh Connie Chieng