
KUCHING: Pembangunan tadbir urus data, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi baharu menjadi aset strategik dalam memperkukuh agenda transformasi digital Sarawak, sekali gus meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, ketiga-tiga komponen itu bukan lagi sekadar pelengkap, malah menjadi pemangkin kepada tadbir urus yang lebih berkesan serta pembangunan ekonomi digital negeri.
Menurut beliau, kerajaan Sarawak telah mengambil pelbagai langkah bagi membangunkan infrastruktur fizikal dan digital termasuk pusat data, hab keterhubungan, platform pengkomputeran awan, kemudahan pengkomputeran berprestasi tinggi serta Kampus Data AI Kuching.
“Pelaburan ini membuktikan Sarawak bukan sekadar bercakap mengenai transformasi digital, sebaliknya sedang merealisasikannya secara berperingkat daripada pembangunan infrastruktur kepada pembentukan satu sistem yang lengkap,” katanya ketika berucap menyempurnakan majlis pelancaran Rangka Kerja Tadbir Urus Data Sarawak (SDGF) 2026 di sini, hari ini.

Beliau berkata, hasil lawatan kerja rasmi Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ke Bristol, United Kingdom baru-baru ini turut menunjukkan bahawa industri semikonduktor, aeroangkasa, pengkomputeran berprestasi tinggi dan AI bergantung kepada data yang selamat, diyakini serta ditadbir urus dengan baik.
Menurutnya, teknologi berkenaan mempunyai potensi besar untuk dimanfaatkan dalam pelbagai sektor strategik di Sarawak termasuk perhutanan, pemerhatian bumi, pengurusan bencana, penjejakan karbon, pemantauan maritim dan penyampaian perkhidmatan di kawasan pedalaman.
Mengulas peranan penjawat awam, beliau berkata Perkhidmatan Awam Sarawak bukan sahaja bertindak sebagai pelaksana dasar, malah berperanan sebagai pembuat dasar, penyelaras dan pereka bentuk sistem yang menterjemahkan data kepada dasar, maklumat kepada keputusan serta bukti kepada tindakan.
Sehubungan itu, beliau menggesa setiap kementerian dan agensi memastikan data kerajaan sentiasa konsisten, selamat, boleh dipercayai dan dikongsi secara bertanggungjawab bagi membentuk Perkhidmatan Awam Sarawak yang berpandukan data serta bersedia menghadapi cabaran masa depan.
Katanya, tanpa tadbir urus data yang kukuh, kerajaan berisiko berdepan sistem yang berpecah, pertindihan tugas, maklumat yang tidak konsisten serta kelemahan penyelarasan antara agensi.
“Tadbir urus data bukan sekadar keperluan teknikal, sebaliknya menjadi tanggungjawab sektor awam dalam memastikan data diurus secara berintegriti, berkualiti dan boleh dipercayai,” katanya.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Digital Malaysia, Fabian Bigar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee, Timbalan Peguam Besar Sarawak, John Wayne Chamberlin Sirau, Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Jafri Lias serta para tetamu kehormat yang lain.