
SIBU: Seorang wanita tempatan berusia 22 tahun ditahan, manakala pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM18,448.25 dirampas dalam dua serbuan berasingan di Jalan Pahlawan dan Jalan Belatok, di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, serbuan pertama dijalankan kira-kira 3.00 petang oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu di Jalan Pahlawan.
“Dalam serbuan itu, polis menahan seorang wanita tempatan berusia 22 tahun serta merampas 11 gram ketulan kristal disyaki dadah jenis ketamin, 190.15 gram serbuk jus disyaki campuran dadah jenis ekstasi dan 500 ml cecair disyaki mengandungi campuran dadah jenis ekstasi.
“Nilai keseluruhan rampasan dalam serbuan pertama dianggarkan berjumlah RM2,912,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, serbuan kedua dijalankan kira-kira 3.45 petang di sebuah rumah di Jalan Belatok, di sini, yang membawa kepada rampasan 514.6 gram serbuk jus disyaki campuran dadah jenis ekstasi, 191 gram ketamin serta 1,000 ml cecair disyaki mengandungi dadah jenis ekstasi.
“Nilai keseluruhan rampasan dalam serbuan kedua dianggarkan berjumlah RM15,536.25,” ujarnya.



Menurutnya, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine dan benzodiazepine (Amp/Meth/Benzo).
“Suspek juga mempunyai rekod lampau dan telah direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” tegasnya.
Zainal berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik akan terus memperhebat usaha membanteras kegiatan pengedaran serta penyalahgunaan dadah.
Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan dadah supaya menyalurkannya kepada Hotline JSJN Bukit Aman di talian 012-2087222 atau JSJN Sarawak di talian 017-5929211.
Oleh Akun Giman