

BINTULU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak menyita lima kenderaan dalam Operasi Bersepadu yang dijalankan bersama beberapa agensi penguat kuasa di Jalan Pesisir Kidurong–Samalaju, di sini, bagi memperkukuh pematuhan undang-undang jalan raya.
Operasi tersebut melibatkan kerjasama Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 226 kenderaan pelbagai jenis diperiksa. Pemeriksaan mendapati beberapa kesalahan dilakukan termasuk membawa muatan berlebihan, memandu tanpa lesen memandu yang sah, lesen memandu tamat tempoh, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi serta pelbagai kesalahan teknikal kenderaan.
Daripada jumlah itu, lima kenderaan telah disita membabitkan dua bas atas kesalahan salah guna permit, dua kenderaan pikap yang dipandu warga asing tanpa lesen memandu sah, serta sebuah lagi kenderaan pikap kerana Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan tidak mempunyai perlindungan insurans.

Semua tindakan penguatkuasaan dan sitaan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.
Turut hadir menyaksikan pelaksanaan operasi ialah Pengerusi LPKP Sarawak, Michael Kong Feng Nian, Pengarah JPJ Sarawak, Norizan Jili, serta pegawai-pegawai kanan daripada agensi yang terlibat.
JPJ Sarawak dalam kenyataannya memaklumkan operasi bersepadu seperti ini akan terus diperkukuh menerusi kerjasama strategik antara agensi bagi meningkatkan pematuhan undang-undang, mempertingkat keselamatan jalan raya serta membanteras sebarang pelanggaran yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya.
Oleh Faizah Muzidi