
KUALA LUMPUR: Kegatalan berpanjangan, kulit kering dan kemerahan sering dianggap sekadar masalah biasa, namun bagi penghidap ekzema, keadaan itu boleh menjadi beban berpanjangan yang menjejaskan tidur, pekerjaan, pembelajaran malah kesejahteraan emosi jika tidak dikawal dengan rawatan yang sesuai.
Pakar Dermatologi Hospital Pakar Avisena Dr Kartini Farah Rahim berkata ekzema bukan sekadar penyakit kulit, sebaliknya merupakan masalah kronik yang boleh memberi kesan besar terhadap kualiti hidup pesakit apabila simptom berlarutan.

“Masalah ini menjadi serius apabila berlarutan sehingga mengganggu tidur, pekerjaan serta menjejaskan emosi, fizikal dan mental seseorang,” katanya semasa menjadi tetamu program Solusi Sihat di Bernama Radio baru-baru ini.
Beliau berkata ekzema dalam kalangan kanak-kanak lazimnya mempunyai kaitan dengan faktor genetik, manakala golongan dewasa pula boleh mengalami masalah itu akibat terdedah kepada bahan tertentu seperti kosmetik, bahan kimia atau sabun.
Menurutnya, ekzema juga sering disalah anggap sebagai kegatalan biasa sedangkan kedua-dua keadaan itu mempunyai ciri yang berbeza dan memerlukan rawatan berlainan.
“Ekzema biasanya menyebabkan kulit menjadi kering, merah dan bersisik. Apabila digaru, kulit boleh menjadi luka.Oleh sebab itu pemeriksaan doktor penting kerana penyakit lain seperti jangkitan kulat juga boleh menyebabkan kulit bersisik tetapi memerlukan rawatan yang berbeza,” katanya.
Dr Kartini berkata individu yang mengalami kegatalan berpanjangan atau mendapati keadaan kulit semakin melarat walaupun telah menggunakan pelembap atau produk farmaseutikal, perlu mendapatkan pemeriksaan doktor bagi mengenal pasti punca sebenar penyakit.
“Selain itu, bukan semua masalah ekzema berpunca daripada pemakanan. Hubungan itu lebih lazim berlaku dalam kalangan bayi yang mengalami ekzema teruk, manakala bagi orang dewasa (ekzema dicetuskan oleh makanan) jarang berlaku. Pengesahan boleh dibuat melalui ujian alahan seperti ujian cucuk kulit atau ujian darah IgE,” katanya.

Menurut beliau, kira-kira 70 peratus kanak-kanak yang mengalami ekzema akan pulih apabila meningkat remaja, namun selebihnya berisiko membawa penyakit itu hingga dewasa, terutama jika terus terdedah kepada faktor yang mencetuskan ekzema seperti air, sabun dan bahan kimia.
“Orang dewasa, terutama suri rumah, lebih terdedah kepada faktor yang boleh mencetuskan ekzema. Pesakit disaran berehat dan tidak menyentuh air dan sabun serta memakai sarung tangan ketika melakukan kerja rumah yang melibatkan penggunaan bahan kimia,” katanya.
Dr Kartini turut menasihati orang ramai supaya berhati-hati membeli produk rawatan ekzema, khususnya yang dipasarkan di media sosial, kerana ada antara produk itu dipercayai mengandungi steroid secara haram walaupun dipromosikan sebagai berasaskan bahan semula jadi.
“Penggunaan steroid yang tinggi untuk jangka masa panjang boleh menyebabkan kulit menjadi nipis. Jika terkena pada mata, ia boleh menyebabkan masalah katarak dan glaukoma,” katanya.

Beliau berkata penggunaan pelembap secara konsisten kekal sebagai rawatan utama, manakala kaedah wet wrap atau balutan basah berkesan mengurangkan kegatalan terutama bagi pesakit ekzema teruk.
“Kaedah balutan basah membantu mengekalkan kelembapan kulit serta mengurangkan radang dan kegatalan, manakala kuku bayi dan kanak-kanak turut dibalut bagi mengelakkan kecederaan akibat menggaru,” katanya.
Pada masa sama, Dr Kartini berkata kemajuan teknologi perubatan kini memberi harapan baharu kepada pesakit ekzema dengan kewujudan pelbagai pilihan rawatan yang lebih berkesan dan selamat, termasuk suntikan biologik yang tidak lagi memerlukan pemantauan darah secara berkala seperti rawatan terdahulu. – Bernama