
DEBAK: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Debak berjaya menangkap seekor ular sawa batik yang ditemui berada di dalam sangkar kucing di sebuah rumah di Jalan Ulu Rimbas, hari ini.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Betong, Kapten Mohammad Noor Ini berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada 12.00 tengah hari sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi menangkap reptilia berkenaan.
Menurut beliau, pengadu yang dikenali sebagai Bibiana Samuel, menghubungi APM Debak selepas ternampak ular sawa batik berada di dalam sangkar kucing miliknya dan bimbang akan keselamatan ahli keluarga serta haiwan peliharaan.
Katanya, sebaik menerima panggilan kecemasan, empat anggota APM Debak bergegas ke lokasi yang terletak sekitar 12 kilometer dari Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD), dengan tiba pada 12.10 tengah hari.

“Setibanya di lokasi, anggota menjalankan pemeriksaan dan mengesan kedudukan ular sebelum melaksanakan operasi menangkap reptilia tersebut menggunakan teknik menjerut yang selamat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, operasi itu berjaya diselesaikan pada 12.34 tengah hari tanpa sebarang insiden tidak diingini berlaku.
Operasi berkenaan melibatkan empat anggota iaitu Prebet Mohammad Azmil Alisman, Prebet Nazaruddin Suboh, Prebet Amirul Hakimi Moh dan Prebet Nur Ariffin Ahmad.
Bagi memastikan operasi berjalan lancar, pasukan menggunakan sebuah ambulans APM, dua unit penjerut, tiga topi keselamatan, tiga pasang sarung tangan, satu penyepit serta sebuah kotak khas untuk menyimpan ular yang berjaya ditangkap.
Kapten Mohammad Noor menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri sekiranya terserempak dengan ular atau haiwan liar berbahaya.
Sebaliknya, mereka disaran segera menghubungi pihak APM bagi membolehkan tindakan pantas diambil demi menjamin keselamatan semua pihak.
Oleh Adi Safarman