Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • LPKP Sarawak meterai perjanjian ISBSF, perkukuh perkhidmatan bas henti-henti
  • TEMPATAN

LPKP Sarawak meterai perjanjian ISBSF, perkukuh perkhidmatan bas henti-henti

Utusan Sarawak 12 hours ago
PENGERUSI LPKP Sarawak, Michael Kong Feng Nian (tengah), bersama wakil pengendali bas henti-henti selepas majlis menandatangani Perjanjian Dana Sokongan Interim Bas Henti-Henti (ISBSF) di Kuching.

KUCHING: Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak menandatangani perjanjian Dana Sokongan Interim Bas Henti-Henti (ISBSF) bersama pengendali bas henti-henti di seluruh Sarawak bagi memperkukuh kelestarian, kebolehpercayaan dan kualiti sistem pengangkutan awam di negeri ini.

Pengerusinya, Michael Kong Feng Nian, berkata Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM5 juta setahun di bawah program itu bagi tempoh lima tahun, menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM25 juta.

Menurut beliau, dana itu bertujuan membantu pengendali menampung peningkatan kos operasi, sekali gus memastikan perkhidmatan bas henti-henti terus dapat disediakan kepada orang ramai.

“Perkhidmatan bas henti-henti memainkan peranan penting dalam menghubungkan komuniti dan menjadi pengangkutan harian bagi ramai rakyat. Namun, pengendali terus berdepan cabaran termasuk peningkatan kos penyelenggaraan dan tenaga kerja.

“ISBSF diwujudkan bukan sahaja untuk mengurangkan tekanan kewangan, malah meningkatkan kualiti, kebolehpercayaan dan kelestarian perkhidmatan bas henti-henti di seluruh Sarawak,” katanya.

Beliau berkata, antara penambahbaikan utama di bawah ISBSF ialah penekanan terhadap kebolehpercayaan perkhidmatan susulan aduan orang ramai mengenai bas yang tidak mematuhi jadual perjalanan.

Katanya, bermula tahun depan, pengendali diwajibkan mencapai sekurang-kurangnya 80 peratus prestasi ketepatan masa, manakala bantuan kewangan akan disalurkan berdasarkan pencapaian prestasi masing-masing.

“Pendekatan ini memastikan dana awam diberikan kepada pengendali yang benar-benar menyediakan perkhidmatan yang boleh diharap oleh rakyat,” katanya.

Selain itu, Kong berkata program berkenaan turut menyokong transformasi digital perkhidmatan bas menerusi pemasangan Sistem Kedudukan Global (GPS) dan Mesin Tiket Elektronik pada semua bas.

Menurut beliau, kemudahan itu membolehkan LPKP Sarawak mengumpul data operasi dan penumpang yang lebih tepat bagi membantu perancangan serta penambahbaikan sistem pengangkutan awam.

Katanya, ISBSF turut menyediakan insentif kepada pengendali untuk menggantikan bas lama secara berperingkat dengan bas yang lebih baharu dan selamat, dengan LPKP Sarawak membantu menanggung sebahagian kos pembiayaan.

“Langkah ini akan meningkatkan kualiti dan kebolehpercayaan perkhidmatan, di samping menjadikan perjalanan lebih selamat dan selesa kepada penumpang,” katanya.

Kong berkata, inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan dalam menyokong pengendali pengangkutan awam serta memastikan perkhidmatan kekal mampan.

Beliau berkata, antara langkah sokongan sedia ada ialah program subsidi diesel yang membolehkan pengendali bas henti-henti yang layak membeli diesel pada kadar subsidi RM1.88 seliter, sekali gus mengurangkan kos operasi dan mengekalkan tambang pada kadar berpatutan.

Katanya, ISBSF melengkapkan pelbagai inisiatif sedia ada dan membuktikan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk terus memperkukuh sistem pengangkutan awam di Sarawak dan seluruh negara.

Oleh Connie Chieng

Continue Reading

Previous: Jambatan Batang Sejingkat buka koridor baharu pembangunan pesisir

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.