
SARATOK: Pesta Saratok 2026 dijadual berlangsung dengan lebih meriah pada Oktober depan menerusi pelbagai aktiviti kemasyarakatan, kebudayaan dan sukan rakyat yang dijangka menarik penyertaan masyarakat dari seluruh Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik berkata, acara kemuncak pesta itu ialah Regata Krian 2026 yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 2 hingga 4 Oktober depan.
Menurut beliau, penganjuran regata berkenaan dijangka menjadi tarikan utama kepada pengunjung dari dalam dan luar daerah, sekali gus merancakkan sektor pelancongan serta memberi limpahan ekonomi kepada usahawan dan peniaga tempatan.
“Regata Krian bukan sahaja menjadi acara tradisi yang dinantikan setiap tahun, malah berperanan sebagai pemangkin pembangunan ekonomi setempat menerusi peningkatan kehadiran pelancong sepanjang penganjuran pesta,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Penganjuran Pesta Saratok 2026 yang dipengerusikan Pegawai Daerah Saratok, Muhammad Dino Amid, di sini, semalam.
Friday berkata, Pesta Saratok 2026 yang dihoskan beliau selaku ADUN Krian akan terus mengekalkan identitinya sebagai acara tahunan yang mengetengahkan warisan budaya, adat resam serta tradisi masyarakat pelbagai kaum di daerah itu.
Katanya, pesta berkenaan turut menjadi platform penting untuk memperkukuh perpaduan, memupuk semangat kebersamaan dan mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan komuniti setempat.
Beliau berkata, mesyuarat tersebut turut memperincikan pelbagai cadangan pengisian program bagi memastikan penganjurannya lebih tersusun, menarik dan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.
Antara aktiviti yang dirancang ialah Regata Krian, Pesta ria dan jualan, Agrofest serta pertandingan badminton yang dijangka mendapat sambutan menggalakkan daripada peserta dan pengunjung.
Selain itu, pelbagai sukan rakyat seperti tarik tali, petanque, pangkah gasing, batak lampung dan menyumpit turut disenaraikan bagi mengekalkan elemen tradisi di samping menggalakkan penyertaan masyarakat pelbagai peringkat umur.
Penganjuran Larian Santai, pertandingan e-sukan dan pementasan hiburan turut dimasukkan dalam jadual program bagi menarik penyertaan golongan belia serta mewujudkan suasana pesta yang lebih meriah dan inklusif.
Pesta Saratok 2026 dijangka menjadi antara acara utama dalam kalendar pelancongan dan kebudayaan Daerah Saratok tahun ini, dengan penganjur optimis pelbagai aktiviti yang dirancang mampu meningkatkan kehadiran pengunjung, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan sosial komuniti setempat.
Oleh Adi Safarman