Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Belgium singkir AS daripada Piala Dunia selepas kontroversi Balogun
  • SUKAN

Belgium singkir AS daripada Piala Dunia selepas kontroversi Balogun

Utusan Sarawak 10 hours ago
PENYERANG Belgium, Romelu Lukaku (tengah), meraikan jaringan keempat pasukannya bersama rakan sepasukan ketika perlawanan pusingan 16 terbaik Piala Dunia FIFA 2026 antara Amerika Syarikat dan Belgium di Stadium Seattle, Seattle, Washington, pada 6 Julai 2026. Foto AFP

SEATTLE, Amerika Syarikat: Belgium menyingkirkan tuan rumah, Amerika Syarikat (AS) sebentar tadi, daripada saingan Piala Dunia selepas mencatat kemenangan 4-1 hasil dua jaringan Charles De Ketelaere dalam perlawanan yang turut dibayangi kontroversi membabitkan penggantungan Folarin Balogun.

Kemenangan itu membolehkan Belgium mara ke suku akhir untuk menentang Sepanyol, manakala AS mengikut jejak langkah dua lagi negara tuan rumah bersama, Kanada dan Mexico, yang tersingkir pada pusingan 16 terbaik selepas mempamerkan persembahan yang kurang meyakinkan.

Menjelang perlawanan, tumpuan terarah kepada Balogun yang disenaraikan dalam kesebelasan utama AS selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, meminta FIFA mengkaji semula penggantungan satu perlawanan yang dikenakan terhadap penyerang itu susulan kad merah yang diterimanya pada perlawanan terdahulu.

PEMAIN dan pegawai pasukan Amerika Syarikat berkumpul selepas tewas 1-4 kepada Belgium dalam perlawanan pusingan 16 terbaik Piala Dunia FIFA 2026 di Stadium Seattle, Seattle, Washington, pada 6 Julai 2026. Foto AFP

FIFA kemudian membenarkan rayuan tersebut, sekali gus mencetuskan kontroversi.

Belgium pula membuat beberapa perubahan mengejut apabila Kevin De Bruyne dan Jeremy Doku direhatkan di bangku simpanan.

Keputusan jurulatih, Rudi Garcia, ternyata membuahkan hasil apabila De Ketelaere meledak gol seawal minit kesembilan sekali gus membungkam sorakan penyokong tuan rumah di Seattle.

Malik Tillman menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma pada minit ke-30, namun De Ketelaere kembali meletakkan Belgium di hadapan hanya tiga minit kemudian menerusi tandukan hasil hantaran Leandro Trossard.

PEMAIN pertahanan Amerika Syarikat, Chris Richards (kiri), ditenangkan oleh ketua jurulatih, Mauricio Pochettino, selepas pasukannya tewas 1-4 kepada Belgium dalam perlawanan pusingan 16 terbaik Piala Dunia FIFA 2026 di Stadium Seattle, Seattle, Washington, pada 6 Julai 2026. Foto AFP

Keputusan FIFA membenarkan Balogun beraksi walaupun sedang menjalani penggantungan menerima kecaman hebat daripada penyokong, pengulas dan pemain di seluruh dunia.

Namun demikian, penyokong di Stadium Seattle menyambut baik kehadiran penyerang itu apabila namanya diumumkan dalam kesebelasan utama.

Sorakan gemuruh diberikan kepada Balogun, malah mengatasi sorakan terhadap kapten pasukan, Christian Pulisic.

Laungan “USA” bergema di seluruh stadium pada awal permainan, namun suasana itu bertukar suram sebaik sahaja Belgium membuka jaringan.

PEMAIN Belgium, Nicolas Raskin (kanan), bersaing merebut bola dengan pemain Amerika Syarikat, Giovanni Reyna, dalam perlawanan pusingan 16 terbaik Piala Dunia FIFA 2026 antara Amerika Syarikat dan Belgium di Stadium Seattle, Seattle, Washington, pada 6 Julai 2026.  Foto AFP

Gol pertama De Ketelaere hadir selepas Nicolas Raskin berjaya melepasi kawalan longgar benteng pertahanan AS sebelum penyerang itu mudah menyempurnakan peluang dari jarak dekat.

Ia merupakan kali pertama AS dibolosi terlebih dahulu sepanjang kempen Piala Dunia kali ini.

Selepas itu, jentera tengah mereka gagal menguasai permainan, manakala benteng pertahanan kelihatan mudah ditembusi.

Pada minit ke-30, Balogun memperoleh sepakan percuma di luar kotak penalti dan Tillman, yang sebelum ini turut menjaringkan gol menerusi sepakan percuma ketika menentang Bosnia dan Herzegovina, sekali lagi menyempurnakan peluang tersebut.

PENYERANG Amerika Syarikat, Folarin Balogun (kiri), membantah keputusan pengadil, Adham Makhadmeh, ketika perlawanan pusingan 16 terbaik Piala Dunia FIFA 2026 antara Amerika Syarikat dan Belgium di Stadium Seattle, Seattle, Washington, pada 6 Julai 2026. Foto AFP

Bola yang terkena benteng Belgium akhirnya menerjah gawang, sekali gus menghidupkan semula harapan penyokong tuan rumah.

Namun, kegembiraan itu tidak bertahan lama apabila De Ketelaere menanduk masuk gol keduanya tiga minit kemudian selepas mengatasi Tim Ream dalam perebutan bola di udara.

AS meningkatkan asakan menjelang tamat babak pertama. Balogun hampir menjaringkan gol hasil lontaran jauh Tillman, namun percubaannya tersasar sebelum gagal menyambut satu lagi hantaran jauh daripada pemain Bayer Leverkusen itu.

Jurulatih AS, Mauricio Pochettino, mengubah corak permainan selepas waktu rehat dengan meletakkan Gio Reyna di posisi nombor 10 dan mengalihkan Weston McKennie ke bahagian kanan.

AS memulakan babak kedua dengan lebih agresif, namun mereka dihukum akibat kesilapan sendiri.

Pada minit ke-57, penjaga gol Matt Freese gagal mengeluarkan bola dengan kemas selepas menerima hantaran jauh Belgium.

De Ketelaere berjaya merampas bola sebelum mengumpankannya kepada Hans Vanaken yang mudah menjaringkan gol ketiga ke gawang yang tidak dikawal.

Beberapa minit kemudian, Pulisic terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan, sekali gus memadamkan harapan AS untuk mara ke suku akhir Piala Dunia buat kali pertama sejak 2002.

Penggantinya, Sebastian Berhalter, hampir menjaringkan gol pada minit ke-79, namun percubaannya hanya sedikit tersasar.

Balogun turut berpeluang merapatkan kedudukan, namun percubaannya dari jarak dekat berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Belgium.

Pada masa kecederaan, Chris Richards melakukan kesilapan mudah apabila kehilangan penguasaan bola kepada Romelu Lukaku.

Penyerang berpengalaman Belgium itu tidak mensia-siakan peluang untuk menjaringkan gol keempat, sekali gus melengkapkan kemenangan bergaya Belgium 4-1. – AFP

Tags: Sukan

Continue Reading

Previous: Jadual padat Piala Dunia Argentina membimbangkan Scaloni
Next: Kontroversi Balogun bakar semangat Belgium — Tielemans

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.