
SIBU: Persiapan bagi Program Sarawakku Sayang Peringkat Bahagian Sibu kini memasuki fasa akhir dengan semua kemudahan dan pengisian dijangka siap sepenuhnya menjelang penganjurannya di Dataran Tun Tuanku Bujang dari 10 hingga 12 Julai ini.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee berkata, program itu merupakan siri kelima selepas Limbang, Miri, Bintulu dan Kapit, sebelum diteruskan ke Mukah, Sarikei, Betong dan berakhir di Kuching pada November depan.
“Jika datang ke Dataran Tun Tuanku Bujang hari ini, semua kemudahan utama telah tersedia dan kini hanya tinggal sentuhan terakhir sebelum program bermula pada 10 Julai,” katanya pada sidang media, hari ini.
Menurutnya, seramai 47 agensi kerajaan akan menawarkan 158 perkhidmatan dan manfaat termasuk permohonan bantuan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES), bantuan kebajikan, peluang pekerjaan melalui Sarawak Jobs serta pelbagai inisiatif lain.
Selain itu, katanya, kira-kira 10 syarikat swasta turut mengambil bahagian bagi menawarkan peluang pekerjaan dengan sesi temu duga dijalankan secara terus kepada pencari kerja.
Justeru beliau, menjemput orang ramai untuk hadir bagi memanfaatkan pelbagai perkhidmatan kerajaan yang disediakan menerusi konsep pusat sehenti selain menikmati pelbagai aktiviti sepanjang tiga hari penganjuran.

“Pavilion Sarawak dan Sibu Kitchen and Sales akan mula beroperasi seawal 9.00 pagi pada hari pertama, menampilkan pameran, kaunter perkhidmatan kerajaan, produk tempatan serta pelbagai juadah,” ujarnya.
Beliau menambah, majlis perasmian rasmi akan disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 11 Julai 10.30 pagi dan dijangka dihadiri lebih 5,000 pengunjung.
“Antara pengisian lain ialah Malam Kebudayaan dan makan malam bersama rakyat pada 10 Julai, Konsert Rakyat pada 11 Julai serta Fun Walk dan Fun Run pada 12 Julai,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pengunjung yang membuat pendaftaran melalui kod QR di lokasi program berpeluang memenangi cabutan bertuah hadiah utama berupa 11 motosikal.
“Cabutan bertuah akan diadakan pada hari terakhir program dan pemenang mestilah hadir ketika nama diumumkan. Jika tiada, hadiah akan diberikan kepada peserta lain yang layak dan berada di lokasi,” katanya.
Turut hadir pada sidang media itu ialah Residen Bahagian Sibu Saferi Awang Said dan Setiausaha Majlis Perbandaran Sibu Henry Jalin.