Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Kepulangan penuh gemilang Cape Verde selepas tewas bermaruah di Piala Dunia
  • SUKAN

Kepulangan penuh gemilang Cape Verde selepas tewas bermaruah di Piala Dunia

Utusan Sarawak 9 hours ago
PEMAIN pasukan bola sepak kebangsaan Cape Verde menyapa penyokong dari dalam bas sebaik tiba di Praia selepas menamatkan kempen bersejarah mereka di Piala Dunia 2026. Foto AFP

PRAIA, Cape Verde: Ribuan penyokong yang teruja menyambut kepulangan skuad Blue Sharks Cape Verde dengan mengibarkan sepanduk di Lapangan Terbang Praia selepas pasukan itu tewas tipis kepada Argentina dalam salah satu perlawanan paling mengejutkan di Piala Dunia.

Skuad Blue Sharks dijadual menyertai perarakan di jalan-jalan sekitar ibu negara sebelum mengadakan pertemuan dengan presiden serta beberapa anggota kerajaan negara kepulauan kecil di pesisir barat Afrika itu.

Cape Verde mara ke pusingan kalah mati dalam penampilan sulung mereka di Piala Dunia, sekali gus mencetuskan keterujaan penyokong di tanah air dan menarik perhatian peminat bola sepak di seluruh dunia apabila berjaya mengatasi pelbagai jangkaan.

Dalam aksi epik pusingan 32 terbaik di Miami, Cape Verde hampir mencipta sensasi apabila mengheret Argentina ke ambang penyingkiran, namun juara dunia itu akhirnya meraih kemenangan 3-2 selepas masa tambahan.

Kepulangan pasukan itu ke tanah air secara kebetulan bertepatan dengan sambutan Hari Kemerdekaan Cape Verde.

“Selepas wira yang memperjuangkan kemerdekaan negara, kini kami mempunyai wira baharu iaitu Blue Sharks,” kata penyokong, Edmilson Correia, 28, kepada AFP di lapangan terbang.

Ketua jurulatih Cape Verde, Bubista, berkata pencapaian pasukannya membuktikan kelayakan ke Piala Dunia bukanlah satu kebetulan.

“Kami membuktikan bahawa kelayakan ke Piala Dunia bukan kerana nasib. Kami mempamerkan kerja keras dan semangat juang yang tinggi, dan kami meninggalkan Amerika Syarikat dengan penuh rasa bangga,” katanya.

Penyokong yang mengenakan jersi biru pasukan turut berusaha mendapatkan peluang melihat pemain-pemain kesayangan mereka seperti Sidny Lopes Cabral dan Vozinha.

Ivan Goncalves, 12, berkata dia paling teruja untuk bertemu Cabral susulan “gol hebatnya menentang Argentina”.

Menteri Kebudayaan dan Sukan, Antonio Duarte, memuji Blue Sharks dan Bubista kerana berjaya “mengukuhkan kedudukan Cape Verde sebagai sebuah negara yang hebat”.

Walaupun tewas kepada Argentina, penduduk Praia tetap meraikan pencapaian bersejarah pasukan itu pada awal pagi Sabtu sebagai tanda penghargaan terhadap perjalanan luar biasa mereka serta kekalahan tipis kepada juara dunia.

Cape Verde, sebuah negara dengan kira-kira 500,000 penduduk, hari ini, menyambut ulang tahun ke-51 kemerdekaannya daripada Portugal yang pernah menjajah negara itu selama 500 tahun. – AFP

Tags: Sukan

Continue Reading

Previous: Pasukan Piala Dunia Switzerland jadi sasaran komen kebencian di media sosial
Next: Haaland singkir Brazil, Norway mara ke suku akhir Piala Dunia

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.