
SEOUL: Korea Selatan merancang untuk melancarkan satelit cerapan Bumi bersaiz sederhana generasi seterusnya yang keempat menggunakan roket Falcon 9 milik SpaceX dari Pangkalan Angkatan Angkasa Vandenberg di California pada Selasa, lapor Agensi Berita Yonhap.
Pentadbiran Aeroangkasa Korea (KASA) memaklumkan satelit seberat 500 kilogram itu dijadual dilancarkan pada 4.10 petang waktu Korea.
Satelit berkenaan telah menjalani pemeriksaan fungsi dan suntikan bahan api dalam tempoh sebulan lepas dan kini menunggu pelancarannya menggunakan roket Falcon 9.
Menurut KASA, ia dijadualkan berpisah daripada kenderaan pelancar sekitar dua jam 22 minit selepas berlepas sebelum membuat hubungan pertama dengan stesen bumi sekitar 31 minit kemudian menerusi stesen bumi Svalbard di Norway.
Satelit itu membawa muatan buatan tempatan, termasuk kamera cerapan yang mampu merakam imej seluruh Semenanjung Korea setiap tiga hari.
Kerajaan menjangkakan satelit itu akan digunakan bagi pelbagai aplikasi, termasuk pertanian dan pengurusan hutan, pemantauan perubahan hutan, tindak balas bencana, analisis perubahan iklim serta peningkatan keselamatan awam.
Selepas mencapai orbit sasaran pada altitud sekitar 888 kilometer, satelit itu akan menjalani operasi awal di orbit selama empat bulan sebelum memulakan misi berskala penuh pada separuh pertama tahun depan, menurut agensi itu. – Bernama