Penyerang England, Harry Kane, menjalani sesi latihan di pusat latihan Pumas di Mexico City menjelang aksi pusingan 16 terbaik Piala Dunia menentang Mexico di Stadium Azteca. - Foto AFP
LOS ANGELES: Pengendali Mexico, Javier Aguirre enggan terlalu memikirkan faktor altitud menjelang pertembungan getir menentang England pada pusingan 16 terbaik Piala Dunia di Stadium Azteca, pada 8 pagi esok (waktu Malaysia).
Menurut Aguirre, aksi itu tetap akan ditentukan oleh prestasi di atas padang, bukannya kelebihan bermain di altitud tinggi.
“Perlawanan ini tetap 11 lawan 11. Kami perlu bermain hampir sempurna untuk menewaskan England kerana mereka memiliki pemain berkualiti dan sangat kuat dari segi fizikal,” katanya.
England mara ke pusingan kalah mati dengan penuh debaran selepas bangkit menewaskan Republik Demokratik Congo (DR Congo) 2-1 hasil dua jaringan lewat kapten, Harry Kane.
Skuad kendalian Thomas Tuchel sebelum itu turut bergelut sepanjang saingan peringkat kumpulan sekali gus masih belum mempamerkan prestasi sebenar sebagai antara calon juara.
Tuchel mengakui England berdepan cabaran besar menyesuaikan diri dengan altitud Stadium Azteca yang terletak kira-kira 2,240 meter dari aras laut.
“Mustahil untuk kami menyesuaikan diri sepenuhnya dalam tempoh empat hari. Itu memang satu kekurangan buat kami.
“Namun apabila berada di stadium ini, anda terus dapat merasakan kehangatan dan suasana luar biasa. Ini benar-benar pentas Piala Dunia di stadium yang ikonik,” katanya.
Selain faktor altitud, Tuchel turut perlu menyelesaikan masalah benteng pertahanan England yang dilihat mudah ditembusi, terutama di bahagian kanan.
Mexico pula tampil penuh yakin selepas memenangi kesemua empat perlawanan di laman sendiri tanpa bolos.
Kemenangan 2-0 ke atas Ecuador pada pusingan 32 terbaik menghadiahkan kejayaan pertama mereka di peringkat kalah mati Piala Dunia dalam tempoh 40 tahun.
Pemenang aksi itu bakal bertemu sama ada Brazil atau Norway di suku akhir.
Dalam satu lagi aksi 16 terbaik di Stadium MetLife, New Jersey, Brazil dijangka berdepan tentangan sengit Norway yang diterajui penyerang sensasi, Erling Haaland.

Haaland sudah meledak lima gol dalam tiga perlawanan dan menjadi ancaman utama kepada benteng Brazil.
Bagaimanapun, jurulatih Brazil, Carlo Ancelotti, yakin barisan pertahanannya sudah cukup mengenali corak permainan penyerang Manchester City itu.
“Semua orang tahu bagaimana dia bermain. Saya tidak perlu mengajar pemain pertahanan saya kerana mereka sudah beberapa kali berdepan dengannya,” katanya.
Sementara itu, jurulatih Norway, Stale Solbakken, mahu anak buahnya melupakan status Brazil sebagai juara dunia lima kali dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada permainan sendiri.
“Brazil memang pilihan, tetapi mereka bukan lagi pasukan yang terlalu dominan seperti beberapa tahun lalu. Kami perlu bermain seperti biasa dan bukan kerana nama besar lawan,” katanya. – AFP