Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Deschamps puji Perancis kekal tenang  di sebalik berdepan Paraguay bermain agresif
  • SUKAN

Deschamps puji Perancis kekal tenang  di sebalik berdepan Paraguay bermain agresif

Utusan Sarawak 12 hours ago

Jurulatih Perancis, Didier Deschamps, meraikan kemenangan 1-0 bersama Kylian Mbappe selepas menewaskan Paraguay pada aksi Piala Dunia, awal pagi tadi – Foto AFP

PHILADELPHIA: Jurulatih Perancis, Didier Deschamps, memuji anak buahnya kerana berjaya mengekalkan ketenangan ketika berdepan Paraguay yang bermain secara agresif dalam cuaca gelombang haba, sekali gus mara ke suku akhir Piala Dunia.

“Bukan mudah. Mereka menggunakan apa sahaja cara yang boleh. Mungkin itu bukan corak permainan yang menarik penonton ke stadium, dengan aksi terlalu agresif dan membesar-besarkan setiap insiden,” kata Deschamps kepada penyiar Perancis, M6.

Kylian Mbappe muncul wira apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-70 selepas Desire Doue dijatuhkan dalam kawasan penalti pada aksi yang berlangsung dalam cuaca panas terik di Lincoln Financial Field, Philadelphia.

Gol itu adalah jaringan ketujuh Mbappe dalam kejohanan kali ini, sekali gus menyamai rekod Lionel Messi sebagai penjaring terbanyak setakat ini.

Sebelum itu, Les Bleus berdepan hari yang mengecewakan, berbeza dengan aksi bertenaga yang dipamerkan dalam perlawanan terdahulu.

Perancis telah meledak 13 gol dalam empat perlawanan pertama Piala Dunia, namun kali ini mereka bergelut mencipta peluang jelas walaupun menguasai sepenuhnya penguasaan bola.

Pemain kreatif mereka seperti Michael Olise, Ousmane Dembele dan Bradley Barcola sukar menembusi benteng Paraguay yang bermain keras dan berusaha mencipta satu lagi kejutan selepas menyingkirkan Jerman pada pusingan 32 terbaik.

“Kami kekal fokus dengan permainan sendiri. Ia sukar kerana mereka meletakkan ramai pemain di belakang bola dan bertahan dengan baik,” kata Deschamps.

“Sudah tentu suhu yang tinggi menyukarkan kami bermain dengan intensiti tinggi, dan tanpa intensiti itu mereka bertahan dengan sangat baik.”

Gelombang haba

Perlawanan berlangsung pada lewat petang ketika suhu di Philadelphia mencecah 38 darjah Celsius, ketika bandar itu menyambut hujung minggu 4 Julai sempena ulang tahun ke-250 kemerdekaan Amerika Syarikat.

Deschamps turut hairan apabila pasukannya menerima tiga kad kuning sedangkan tiada seorang pun pemain Paraguay dilayangkan kad.

“Saya tidak mahu mengkritik pengadil, tetapi kami menamatkan perlawanan dengan tiga kad kuning sedangkan banyak perkara berlaku di atas padang,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

“Saya juga tidak mahu mengkritik Paraguay. Setiap pasukan berhak bermain mengikut cara masing-masing, tetapi saya boleh lakukan tanpa segala kata-kata penghinaan.

“Yang paling penting tiada insiden selepas tamat perlawanan. Apa yang lebih penting ialah kami berjaya mara.”

Deschamps berkata beliau terpaksa mengarahkan dua pemain berpengalaman melindungi kaptennya, Mbappe, daripada layanan keras pemain Paraguay pada penghujung perlawanan.

“Kami berjaya mengawal emosi dan itu sangat penting. Ia mungkin tidak memenangkan perlawanan, tetapi ia amat diperlukan.

“Pengalaman ini akan banyak membantu kami kerana ramai pemain kami beraksi dalam Piala Dunia buat kali pertama.

“Saya tidak akan kata perjalanan kami sebelum ini mudah, tetapi kali ini kami menghadapi cabaran yang berbeza.”

Perancis akan menentang Maghribi pada aksi suku akhir di Foxborough, Massachusetts, awal pagi Jumaat ini (waktu Malaysia) selepas wakil Afrika itu menewaskan Kanada 3-0 pada pusingan 16 terbaik.

Pertemuan itu mengulangi separuh akhir Piala Dunia 2022 yang dimenangi Perancis 2-0 sebelum mereka tewas kepada Argentina menerusi penentuan penalti di final.

“Maghribi adalah antara pasukan terbaik. Kami bertemu mereka empat tahun lalu di Doha dan mereka juga mara ke final Piala Negara-Negara Afrika,” kata Deschamps.

Beliau berharap skuadnya dapat pulih segera daripada perlawanan sengit menentang Paraguay, selain mengharapkan pemain tengah utama, Aurelien Tchouameni, kembali cergas selepas terlepas aksi itu akibat kecederaan paha.

“Kami mempunyai beberapa hari untuk pulih. Ada pemain yang keletihan dan beberapa lagi mengalami kecederaan ringan.” – AFP

Continue Reading

Previous: England sedia cipta sejarah baharu di Azteca dengan hadapi cabaran Mexico
Next: England diuji Mexico, Norway sedia kejut Brazil

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.