
MEXICO CITY, Mexico: Pengurus England, Thomas Tuchel, berkata The Three Lions mampu melupakan kenangan pahit Piala Dunia di Estadio Azteca dengan bangkit menghadapi cabaran menyingkirkan Mexico pada 8.00 pagi esok (waktu Malaysia).
Empat puluh tahun lalu di Mexico City, Diego Maradona menewaskan England dalam aksi suku akhir Piala Dunia yang masih diingati kerana gol “Tangan Tuhan”, apabila legenda Argentina itu menyumbat bola ke gawang menggunakan tangan.
Kali ini, England perlu menewaskan salah satu tuan rumah bersama dalam aksi pusingan 16 terbaik untuk memastikan misi mereka meraih kejuaraan utama pertama dalam tempoh 60 tahun terus hidup.
Perlawanan itu juga dianggap paling penting bagi Mexico dalam beberapa dekad apabila mereka memburu kemaraan ke suku akhir Piala Dunia buat pertama kali sejak 1986.
“Ia terus menarik perhatian sebaik sahaja anda tiba di sini dan melihat keterujaan serta emosi yang ada. Saya merasakan sejak awal bahawa ini akan menjadi perlawanan Piala Dunia yang sebenar esok,” kata Tuchel pada sidang media pra-perlawanan.
“Kami sudah tahu lebih awal. Kami berada di tempat yang ikonik, stadium yang ikonik.”
Namun jurulatih dari Jerman itu menegaskan tiada perasaan mahu “membalas dendam” di stadium bersejarah itu, yang pernah menjadi tuan rumah dua perlawanan akhir Piala Dunia.
“Ini menyakitkan. Ia masih memberi kesan, tetapi kami bukan di sini untuk membalas dendam,” katanya merujuk kepada kekalahan kepada Argentina empat dekad lalu.
“Ia stadium yang sama, tetapi bukan lawan yang sama. Ia tidak masuk akal. Kami di sini untuk mencipta kisah kami sendiri.”

Ketibaan awal
Selain berdepan sokongan padu tuan rumah, England turut perlu menyesuaikan diri dengan altitud lebih 2,240 meter dari aras laut.
Pasukan Tuchel tiba pada Jumaat (waktu tempatan), sehari lebih awal daripada kebiasaan, bagi membantu proses penyesuaian.
Namun bekas pengendali Chelsea itu bimbang dengan permulaan pantas Mexico yang memenangi semua empat perlawanan Piala Dunia mereka setakat ini tanpa bolos.
“Pemain merasai kesannya pada minit awal sesi latihan, tetapi semakin lama mereka boleh menyesuaikan diri dengan lebih baik,” kata Tuchel mengenai faktor altitud.
“Kami berada di sini sehari lebih awal untuk merasainya sekurang-kurangnya.”
“Saya tidak fikir ia kebetulan Mexico memulakan perlawanan di tempat sendiri dengan sangat kuat dan agresif. Saya fikir 15 hingga 20 minit pertama akan menjadi paling sukar.”
Walaupun berpengalaman luas di peringkat tertinggi bola sepak kelab Eropah dan kejohanan antarabangsa, bekas kapten Liverpool, Jordan Henderson, berkata perlawanan itu mungkin cabaran terbesar dalam kariernya.
“Saya tidak fikir perlawanan ini boleh dibandingkan dengan mana-mana perlawanan yang pernah saya sertai,” katanya.
“Ya, saya pernah bermain dalam banyak perlawanan Liga Juara-Juara, tetapi di Piala Dunia, di Mexico, menentang Mexico, saya rasa tiada apa yang boleh menandingi situasi ini.”
“Itulah sebabnya ia perlawanan yang sangat menarik untuk disertai. Semua orang benar-benar teruja dan tidak sabar menantikan perlawanan ini serta cabaran yang ada.”
Tuchel mengesahkan Reece James tidak cergas untuk diturunkan sebagai kesebelasan utama, sekali gus menambah kebimbangan di posisi pertahanan kanan.
Keputusan untuk tidak menamakan pengganti khusus bagi pemain Chelsea itu sebelum ini turut menerima kritikan selepas beliau mengalami kecederaan hamstring.
Pertahanan tengah, Jarell Quansah yang memulakan kemenangan 2-0 ke atas Panama di posisi pertahanan kanan kembali tersedia selepas pulih daripada kecederaan buku lali, manakala Djed Spence bergelut dalam kemenangan 2-1 ke atas Republik Demokratik Congo pada Selasa.— AFP