
KUALA LUMPUR: Hasrat pemain perseorangan lelaki profesional negara Lee Zii Jia untuk menamatkan penantian meraih gelaran Jelajah Dunia terkubur selepas tersingkir pada peringkat separuh akhir Terbuka Kanada 2026 di Markham, Ontario, hari ini.
Dalam pertarungan sengit selama 70 minit di Markham Pan Am Centre, Zii Jia bergelut untuk mengekang aksi agresif pemain Jepun, Riki Takei, sebelum tewas 13-21 pada set pembukaan.
Pemain negara itu bangkit pada set kedua untuk menang 21-18, sekali gus mengheret perlawanan kepada set penentuan sebelum tewas 18-21.
Kekalahan itu adalah yang pertama dialami Zii Jia kepada pemain Jepun berkenaan selepas beliau berjaya menewaskan Takei pada Terbuka Australia 2026 bulan lepas.
Walaupun bergelar pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024, pemain profesional itu masih memburu gelaran selepas kali terakhir muncul juara pada Terbuka Australia 2024.
Susulan kekecewaan pada separuh akhir itu, pasukan pengurusan rasmi Zii Jia, TeamLZJ, menerusi media sosial menyatakan masih banyak aspek positif yang boleh diperkukuh bagi menghadapi siri kejohanan seterusnya sepanjang musim ini.- Bernama