
HOUSTON, Amerika Syarikat: Ketua jurulatih Maghribi, Mohamed Ouahbi, berkata pasukannya “bukan lagi satu kejutan” selepas mara ke suku akhir Piala Dunia pada 1.00 pagi tadi (waktu Malaysia), selain membalas kenyataan “berani” daripada jurulatih Kanada, Jesse Marsch.
Pasukan dari Afrika Utara itu tidak berada pada prestasi terbaik, namun tampil lebih klinikal apabila menewaskan Kanada, pasukan tuan rumah bersama, 3-0 di Houston dan akan berdepan Perancis atau Paraguay pada aksi seterusnya.
Maghribi sebelum ini mara ke separuh akhir Piala Dunia 2022 serta menjuarai Piala Negara-Negara Afrika 2025, dan Ouahbi berkata pencapaian itu membuktikan pasukannya bukan lagi dianggap pencabar kejutan.
“Kami bukan lagi satu kejutan hari ini dan ia adalah satu kebanggaan besar,” katanya.
“Saya rasa ini hanyalah permulaan dan saya berharap kami akan terus menghasilkan pencapaian seperti ini untuk banyak tahun akan datang.”
Maghribi tewas kepada Perancis pada separuh akhir Piala Dunia 2022 di Qatar, namun jurulatih itu menegaskan misi pasukannya bukanlah untuk membalas dendam sekiranya bertemu semula di Amerika Utara.
“Kami mahu mara sejauh mungkin dan membanggakan rakyat kami,” katanya.
Selepas Kanada menguasai sebahagian besar babak pertama, Azzedine Ounahi meledak dua gol pada minit ke-50 dan ke-82 untuk memastikan kemenangan Maghribi.
“Apa yang kami cuba tekankan kepada pemain ialah bahawa mereka bermain di Piala Dunia, yang bermaksud mereka akan melalui saat-saat sukar,” kata Ouahbi.
“Apa yang kami perlukan ialah bertahan dan menunjukkan ketahanan apabila keadaan tidak memihak kepada kami.”

Marsch mendakwa pasukannya lebih baik dalam perlawanan itu, namun Ouahbi membalas kenyataan tersebut dengan menyifatkannya sebagai tidak tepat.
“Dari segi intensiti, mereka bagus, itu perlu diakui. Tetapi adakah mereka lebih baik? Sukar untuk mengatakan begitu apabila anda tewas 3-0, itu satu dakwaan yang berani,” katanya.
“Mereka tersusun dengan baik, tetapi pada babak kedua saya rasa tiada persaingan.”
“Bagaimanapun,” tambahnya, “saya tidak pasti banyak pasukan mampu menang dengan skor sebegitu dalam pusingan 16 terbaik.”— AFP