Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Mbappe: Perancis sedia ‘bermain keras’ demi tiket suku akhir Piala Dunia
  • SUKAN

Mbappe: Perancis sedia ‘bermain keras’ demi tiket suku akhir Piala Dunia

Utusan Sarawak 9 hours ago
PENYERANG Perancis, Kylian Mbappe meraikan jaringan pembukaan pasukannya ketika menentang Paraguay dalam aksi pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026 di Stadium Philadelphia, Philadelphia. Foto AFP

PHILADELPHIA, Amerika Syarikat: Kapten Perancis, Kylian Mbappe, berkata pasukannya sanggup melakukan apa sahaja untuk terus mara dalam Piala Dunia selepas mengharungi perlawanan pusingan 16 terbaik yang tegang menentang Paraguay sebelum mencatat kemenangan 1-0 pada 5.00 pagi tadi (waktu Malaysia).

Mbappe menjaringkan gol kemenangan menerusi sepakan penalti pada minit ke-70, sekali gus menjadikan jumlah jaringannya dalam kejohanan itu meningkat kepada tujuh gol dan keseluruhan 19 gol dalam sejarah penampilannya di Piala Dunia.

Namun, beliau terus diasak dan diprovokasi oleh barisan pertahanan Paraguay pada penghujung perlawanan yang berlangsung dalam cuaca panas terik di Philadelphia.

“Kami sudah menjangkakan corak perlawanan seperti ini, tetapi saya fikir kami mengharunginya dengan sangat baik hari ini,” kata Mbappe.

“Mereka mungkin menyangka kami akan turun dengan penuh bergaya, hanya untuk mempamerkan aksi-aksi menarik,” tambahnya.

“Tetapi kami juga tahu bagaimana untuk beraksi dalam perlawanan yang fizikal dan penuh cabaran. Itulah yang kami lakukan hari ini. Kami menang, malah dalam aspek itu pun kami lebih baik daripada mereka.”

Penyerang Real Madrid itu turut berkata persembahan Perancis membuktikan mereka bukan sekadar pasukan yang mahir bermain secara menyerang.

“Persembahan kami hari ini menunjukkan bahawa kami bukan hanya tahu bermain bola sepak menyerang.

PENYERANG Perancis, Kylian Mbappe bersaing mendapatkan bola dengan pertahanan Paraguay, Juan Jose Caceres, dalam aksi pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026 di Stadium Philadelphia, Philadelphia, pada pagi ini (waktu Malaysia) Foto AFP

“Jika kami perlu bermain dengan lebih keras, kami akan melakukannya. Maaf dengan ungkapan itu, tetapi kami tiada masalah berbuat demikian,” katanya.

Pertemuan dengan Paraguay berlangsung dalam suasana sengit dan penuh perebutan fizikal, namun hanya menyaksikan tiga kad kuning dilayangkan oleh pengadil dari Uzbekistan, Ilgiz Tantashev, dan kesemuanya diberikan kepada pemain Perancis.

Ketika Mbappe bersedia mengambil sepakan penalti, pemain kedua-dua pasukan bertelagah, malah pemain Paraguay turut cuba merosakkan permukaan titik penalti sebelum sepakan diambil.

“Itulah cara mereka bermain bola sepak. Itu gaya mereka,” kata pemain berusia 27 tahun itu.

“Setiap pasukan mempunyai kekuatan tersendiri. Tiada cara yang betul atau salah untuk bermain bola sepak. Hanya ada satu matlamat, iaitu menang.

“Mereka cuba menewaskan kami dengan cara itu, tetapi kami berjaya mengatasi mereka juga. Kini kami melangkah ke pusingan seterusnya.”

Perancis akan menentang Maghribi pada aksi suku akhir di Boston, awal pagi Jumaat depan (waktu Malaysia).

“Kami tahu mereka sebuah pasukan yang sangat baik dan kami benar-benar tidak sabar untuk berdepan mereka,” kata Mbappe mengenai pertemuan yang mengulangi separuh akhir Piala Dunia 2022, yang dimenangi Perancis 2-0.

“Kami akan memberikan segala-galanya untuk terus mara.”— AFP

Continue Reading

Previous: Perancis tewaskan Paraguay 1-0, mara ke suku akhir Piala Dunia
Next: Maghribi ‘bukan lagi kejutan’ selepas mara ke suku akhir Piala Dunia – Jurulatih

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.