Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Perancis tewaskan Paraguay 1-0, mara ke suku akhir Piala Dunia
  • SUKAN

Perancis tewaskan Paraguay 1-0, mara ke suku akhir Piala Dunia

Utusan Sarawak 9 hours ago
PENYERANG #10 Perancis, Kylian Mbappe meraikan kejayaan bersama penyerang #11 Michael Olise selepas memenangi perlawanan bola sepak pusingan 16 Piala Dunia 2026 antara Paraguay dan Perancis di Stadium Philadelphia di Philadelphia pada 4 Julai 2026. – Foto AFP.

PHILADELPHIA: Jaringan penalti Kylian Mbappé pada babak kedua memastikan Perancis menewaskan Paraguay 1-0 dalam aksi pusingan 16 terbaik Piala Dunia FIFA 2026, sebentar tadi, sekali gus mengesahkan tempat ke suku akhir menentang Maghribi.

Perancis berdepan tentangan sengit daripada Paraguay yang bertahan dengan begitu kental sepanjang sebahagian besar perlawanan di hadapan 68,324 penyokong di Stadium Lincoln Financial, Philadelphia, dalam cuaca panas melampau.

Namun, kualiti dimiliki skuad bimbingan Didier Deschamps akhirnya membezakan kedua-dua pasukan apabila Mbappe tenang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-70 selepas Désiré Doué dijatuhkan dalam kotak penalti.

KYLIAN Mbappe #10 dari Perancis meraikan kemenangan 1-0 pasukan itu dalam perlawanan Pusingan 16 Piala Dunia FIFA 2026 antara Paraguay dan Perancis di Stadium Philadelphia pada 4 Julai 2026 di Philadelphia, Pennsylvania. Foto AFP.

Berbeza dengan aksi menyerang memukau yang dipamerkan dalam perlawanan terdahulu, Perancis kali ini terpaksa bekerja keras menembusi benteng pertahanan Paraguay yang mengamalkan corak permainan bertahan.

Meskipun menguasai hampir keseluruhan permainan, Perancis hanya berjaya memecahkan kebuntuan pada babak kedua, manakala Paraguay hanya melakukan satu percubaan tepat ke gawang pada minit ke-90.

Gol itu menyaksikan Mbappe kini berkongsi kedudukan selaku penjaring terbanyak kejohanan bersama Lionel Messi dengan tujuh gol.

DOUE #20 dari Perancis dan Mauricio #11 dari Paraguay berebut bola semasa perlawanan Pusingan 16 Besar Piala Dunia FIFA 2026 antara Paraguay dan Perancis di Stadium Philadelphia pada 4 Julai 2026 di Philadelphia, Pennsylvania. Foto AFP.

Penyerang Real Madrid itu turut mengumpul 19 gol daripada 19 penampilan di pentas Piala Dunia, hanya satu gol di belakang rekod keseluruhan Messi yang meledak 20 gol.

Perancis akan kembali ke kem latihan mereka di Boston sebelum menghadapi Maghribi pada aksi suku akhir di Foxborough, Khamis depan. Maghribi sebelum itu menewaskan Kanada 3-0 untuk melangkah ke kelompok lapan terbaik.

Perlawanan berlangsung dalam suhu mencecah 38 darjah Celsius dengan amaran cuaca ekstrem dikeluarkan susulan kemungkinan ribut.

PEMAIN tengah Perancis #14, Adrien Rabiot dan pemain tengah Paraguay #11, Mauricio, bertindak balas semasa perlawanan bola sepak pusingan 16 Piala Dunia 2026 antara Paraguay dan Perancis di Stadium Philadelphia di Philadelphia pada 4 Julai 2026. – Foto AFP.

Sambutan Hari Kemerdekaan Amerika Syarikat ke-250 turut mewarnai suasana di Philadelphia, bandar bersejarah tempat Deklarasi Kemerdekaan negara itu ditandatangani pada 1776.

Paraguay yang berada di ranking ke-41 dunia, tampil penuh disiplin selepas menyingkirkan Jerman menerusi penentuan penalti pada pusingan sebelumnya.

Mereka mengamalkan formasi lima pertahanan serta bertahan secara rapat, selain beberapa kali menggunakan pendekatan fizikal yang mencetuskan ketegangan, termasuk insiden tolak-menolak membabitkan Mbappe dan Andrés Cubas.

Perancis mencipta beberapa peluang menerusi Manu Koné, namun percubaannya berjaya diselamatkan penjaga gol Paraguay, Orlando Gill.

Deschamps kemudian memasukkan Doué menggantikan Bradley Barcola, dan pertukaran itu membuahkan hasil apabila pemain muda itu memenangi sepakan penalti selepas dikasari Diego Gómez.

Selepas semakan video pengadil (VAR), pengadil dari Uzbekistan menghadiahkan sepakan penalti kepada Perancis sebelum Mbappe tenang menyempurnakannya untuk gol kemenangan.

Ia mungkin bukan persembahan terbaik Perancis dalam kejohanan ini, namun kemenangan itu membawa mereka selangkah lebih hampir kepada impian menjulang trofi Piala Dunia buat kali ketiga.

– AFP

Continue Reading

Previous: Maghribi singkir Kanada 3-0, mara ke suku akhir Piala Dunia
Next: Mbappe: Perancis sedia ‘bermain keras’ demi tiket suku akhir Piala Dunia

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.