
SARIKEI: Seramai 47 warga Sekolah Jenis Kebangsaan (SJKC) Chung Hua di Roban menyertai ceramah keselamatan kebakaran sebagai usaha meningkatkan pengetahuan dan kesiapsiagaan menghadapi situasi kecemasan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Vincent Baling berkata, program bermula dari 9.15 pagi hingga 11.00 pagi tersebut dikendalikan oleh tiga anggota bomba.
Katanya, program tersebut melibatkan penyertaan 42 murid, empat guru dan seorang pengawal keselamatan.

“Program kesedaran ini penting bagi memberi pendedahan awal kepada warga sekolah mengenai langkah-langkah pencegahan kebakaran dan tindakan yang perlu diambil ketika berlaku kecemasan.
“Pendidikan mengenai aspek keselamatan sejak di bangku sekolah dapat membentuk budaya mengutamakan keselamatan dan meningkatkan kesiapsiagaan dalam kalangan murid serta warga sekolah,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.
Tambahnya, antara pengisian utama program ialah ceramah pencegahan kebakaran, penerangan dan latihan pengungsian bangunan, simulasi tindakan apabila pakaian disambar api serta langkah menyelamatkan diri sekiranya terperangkap dalam asap.

“Latihan tersebut memberi peluang kepada peserta memahami prosedur pemindahan yang betul dan mempraktikkan tindakan yang perlu diambil ketika berdepan situasi kebakaran.
“Pendedahan secara teori dan praktikal mampu meningkatkan keyakinan peserta untuk bertindak dengan tenang, sekali gus mengurangkan risiko kecederaan ketika berlaku kecemasan,” katanya.
Vincent berharap program seumpama ini dapat diteruskan di lebih banyak institusi pendidikan bagi memperkukuh kesedaran mengenai pencegahan kebakaran dan melahirkan masyarakat yang lebih peka terhadap aspek keselamatan.
Oleh Earl Anek