
BINTANGOR: Kejohanan Olahraga Tahunan Antara Rumah Sukan (KOTARS) 2026 Sekolah Kebangsaan (SK) Gemuan bukan sahaja menjadi medan mencungkil bakat sukan, malah berperanan memupuk semangat kesukanan, disiplin dan kepimpinan dalam kalangan murid.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, kejohanan sukan sekolah merupakan platform penting dalam membentuk sahsiah dan jati diri murid di samping melahirkan generasi yang seimbang dari segi akademik dan kokurikulum.
“Saya sangat bersyukur kerana berpeluang bersama-sama warga SK Gemuan menjayakan kejohanan tahunan ini.

“Melalui penyertaan dalam aktiviti sukan, murid-murid dapat memupuk semangat kerjasama, toleransi, keberanian dan saling menghormati, di samping mengamalkan gaya hidup sihat serta aktif,” katanya ketika berucap di perasmian KOTARS 2026 SK Gemuan.
Beliau menyeru semua peserta supaya bertanding dengan penuh semangat kesukanan, jujur dan berdisiplin serta menjadikan setiap pertandingan sebagai peluang untuk membina keyakinan diri dan pengalaman.
Katanya, kemenangan bukanlah matlamat utama, sebaliknya usaha, kesungguhan dan semangat juang yang ditunjukkan sepanjang kejohanan merupakan nilai yang lebih bermakna dalam membentuk keperibadian murid.
Koung Hiing turut merakamkan penghargaan kepada para guru atas dedikasi membimbing dan melatih murid, selain mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa dan penjaga yang sentiasa memberikan sokongan terhadap perkembangan anak-anak dalam bidang akademik dan kokurikulum.
Beliau berharap KOTARS akan terus menjadi platform melahirkan murid yang berdisiplin, berkeyakinan, berdaya saing dan memiliki semangat kesukanan yang tinggi demi kecemerlangan sekolah serta masa depan negara.
Di majlis tersebut, beliau turut mengumumkan sumbangan geran khas Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM2,000 bagi menyokong pelaksanaan aktiviti tahunan SK Gemuan sepanjang 2026.
Oleh Earl Anek