Kylian Mbappe meraikan gol ketiga Perancis ketika menewaskan Sweden 3-0 pada aksi pusingan 32 terbaik Piala Dunia di Stadium New York/New Jersey, East Rutherford, 30 Jun lalu. – Foto AFP
PHILADELPHIA: Perancis dijangka meneruskan kemaraan ke suku akhir apabila berdepan Paraguay pada aksi pusingan 16 terbaik Piala Dunia, pada 5 pagi esok (waktu Malaysia).
Anak buah Didier Deschamps tampil sebagai antara pasukan paling meyakinkan setakat ini selepas memenangi semua empat perlawanan dengan meledak 13 gol, termasuk menewaskan Sweden 3-0 hasil dua jaringan Kylian Mbappe.
Mbappe kini berkongsi kedudukan penjaring terbanyak kejohanan dengan enam gol, selain hanya satu gol di belakang rekod keseluruhan Piala Dunia milik Lionel Messi.
Bagaimanapun, Paraguay hadir dengan keyakinan tinggi selepas mengejutkan Jerman menerusi penentuan penalti 4-3, kemenangan yang turut membawa kepada pengisytiharan cuti umum di negara itu.
Deschamps enggan memandang rendah lawan yang disifatkannya memiliki semangat juang tinggi serta corak permainan khas Amerika Selatan.

Sementara itu, penyerang Paraguay, Julio Enciso, percaya pasukannya tetap mempunyai kekuatan tersendiri untuk menyukarkan Perancis.
Selain saingan di atas padang, kedua-dua pasukan turut dijangka berdepan cabaran cuaca apabila suhu di Philadelphia diramal mencecah 37 darjah Celsius ketika perlawanan berlangsung. – Agensi.