Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Penjaga gol Australia tidak dimaklumkan pertukaran ketika penentuan sepakan penalti Piala Dunia
  • SUKAN

Penjaga gol Australia tidak dimaklumkan pertukaran ketika penentuan sepakan penalti Piala Dunia

Utusan Sarawak 8 hours ago
PENJAGA gol Australia, Patrick Beach (18) (kanan), digantikan oleh penjaga gol Australia, Mathew Ryan (01), semasa perlawanan pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026 antara Australia dan Mesir di Stadium Dallas, Arlington pada 3 Julai 2026. Foto AFP

ARLINGTON, Amerika Syarikat: Penjaga gol Australia, Patrick Beach, mengakui beliau langsung tidak mengetahui bahawa dirinya akan dikeluarkan sebelum penentuan sepakan penalti menentang Mesir dalam Piala Dunia pada perlawanan 2.00 pagi (waktu Malaysia), sekali gus mencetuskan kritikan terhadap keputusan taktikal ketua jurulatih Tony Popovic.

Beach, 22, pada awalnya hadir ke kejohanan sebagai penjaga gol kedua di belakang kapten berpengalaman Socceroos, Mathew Ryan.

Namun secara mengejutkan, beliau diturunkan dalam setiap perlawanan dan menunjukkan prestasi cemerlang sebelum dikeluarkan pada lewat masa tambahan dalam aksi pusingan 32 terbaik menentang Mesir di Dallas ketika penentuan sepakan penalti hampir bermula.

Popovic kemudian memasukkan Ryan, namun penjaga gol itu gagal melakukan sebarang penyelamatan ketika Mesir menang 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti selepas perlawanan terikat 1-1.

“Perkara itu perlu ditanyakan kepada jurulatih,” kata Beach kepada media Australia mengenai pertukaran penjaga gol tersebut.

“Saya sendiri mengetahuinya pada masa yang sama seperti anda semua.

“Sudah tentu ada pelan yang telah dirancang, dan ia bukan untuk kami ketahui.

“Jurulatih membuat keputusan, dan bagi kami, Matty dan saya hanya perlu melaksanakan tugas sebaik mungkin untuk pasukan.”

PENJAGA gol Australia, Patrick Beach (#18), memerhati aksi ketika perlawanan pusingan 32 terbaik Piala Dunia FIFA 2026 antara Australia dan Mesir di Stadium Dallas, Arlington, Texas, pada 3 Julai 2026. Foto AFP

Ryan turut mengakui beliau tidak dimaklumkan terlebih dahulu mengenai keputusan tersebut.

“Tidak, saya tidak dimaklumkan sebelum perlawanan,” katanya.

Bekas penjaga gol Australia, Mark Bosnich, menyifatkan keputusan itu sebagai “amat mengejutkan”, manakala seorang lagi legenda penjaga gol, Mark Schwarzer, berkata beliau percaya penjaga gol yang sedang beraksi sepatutnya kekal di atas padang.

Bekas pemain Socceroos, Robbie Slater, pula menyifatkan tindakan itu sebagai kegagalan pihak kejurulatihan.

“Beach berada dalam prestasi cemerlang dan kini kita tidak akan tahu sama ada prestasi itu mampu diterjemahkan kepada penyelamatan dalam penentuan sepakan penalti,” tulisnya dalam kolum di akhbar The Australian.

“Ini tanggungjawab barisan kejurulatihan dan pada pandangan saya, ini satu lagi kegagalan.”

Slater turut mengkritik keputusan meletakkan pertahanan berusia 18 tahun, Lucas Herrington, untuk mengambil sepakan penalti yang akhirnya terkena palang.

“Perkara ini tidak sepatutnya dibebankan kepadanya,” katanya.

“Dalam situasi penentuan sepakan penalti Piala Dunia, sepatutnya ada pihak dalam pasukan yang bertanya sama ada wajar kita meletakkan beban itu kepada pemain berusia 18 tahun.”

Popovic bagaimanapun mempertahankan keputusannya dan menegaskan beliau bangga dengan pasukan.

“Ya, ia tidak menjadi, jadi kita boleh menilai pelbagai sebab di sebaliknya, tetapi berdasarkan pengalaman Matty dan rekodnya dalam menyelamatkan sepakan penalti,” katanya.

“Kami merasakan pengalaman Matty boleh menjadi perbezaan.”

Mengenai keputusan melibatkan Herrington dalam situasi tekanan tinggi itu, Popovic berkata beliau tidak menyesal.

“Jika pemain muda itu menjaringkan gol, anda pasti akan berkata sebaliknya,” katanya.

Herrington yang kelihatan kecewa selepas perlawanan menegaskan beliau bersedia memikul tanggungjawab tersebut.

“Staf kejurulatihan mempercayai saya, saya yakin ketika mengambil sepakan itu, saya tahu ke mana saya mahu menendang, tetapi malangnya itulah bola sepak,” katanya kepada media Australia. – AFP

Tags: Sukan

Continue Reading

Previous: Sukan boules berpotensi menjadi sukan pilihan semua peringkat umur
Next: Perancis hadapi bahang Philadelphia, aksi 16 terbaik Piala Dunia bermula

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.