
SANTUBONG: Sebanyak 1,242 kes kehamilan luar nikah melibatkan remaja direkodkan di Sarawak pada tahun lalu, sekali gus menunjukkan isu berkenaan masih memerlukan perhatian serius walaupun mencatatkan sedikit penurunan berbanding 1,271 kes pada 2024.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, setiap kes yang direkodkan bukan sekadar melibatkan remaja terbabit, malah memberi kesan besar kepada ibu bapa, institusi keluarga serta masyarakat secara keseluruhannya.
Menurut beliau, ramai hanya melihat angka statistik, namun hakikatnya beban yang ditanggung akibat kehamilan luar nikah melibatkan kedua-dua belah keluarga selain kerajaan dan pihak yang bertanggungjawab menguruskan kebajikan remaja.
“Pada awalnya mungkin remaja merasakan bercinta itu sesuatu yang menyeronokkan, tetapi apabila berlaku perkara yang tidak diingini, bukan remaja sahaja yang menanggung akibatnya, malah kedua-dua ibu bapa juga terpaksa memikul beban tersebut.

“Justeru, isu seperti ini perlu ditangani secara bersama kerana ia bukan lagi masalah individu tetapi melibatkan kesejahteraan keluarga dan masyarakat,” katanya ketika berucap merasmikan Program PEKERTI Negara di Sekolah Seni Malaysia Sarawak, di sini, hari ini.
Nancy berkata, walaupun statistik di Sarawak menunjukkan sedikit penurunan, usaha pencegahan, pendidikan dan intervensi awal perlu terus diperkukuhkan bagi mengelakkan lebih ramai remaja terjerumus dalam masalah sama.
Beliau berkata, cabaran yang dihadapi golongan remaja kini juga semakin kompleks apabila ancaman tidak lagi hanya berlaku dalam kehidupan seharian, sebaliknya turut datang daripada dunia digital.
Katanya, perkembangan teknologi membuka ruang kepada pelbagai risiko baharu termasuk buli siber, penipuan dalam talian, eksploitasi seksual dan fenomena grooming seksual yang semakin membimbangkan.
“Benda-benda seperti ini mungkin suatu ketika dahulu dianggap sensitif untuk dibincangkan, tetapi hari ini ia sudah menjadi perkara biasa yang ditonton dan diakses oleh remaja menerusi media sosial.
“Sebab itu kita perlu berani bercakap mengenainya supaya mereka lebih faham tentang risiko yang dihadapi,” katanya.
Beliau berkata, berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022, hampir satu pertiga atau 29 peratus remaja berusia antara 13 hingga 17 tahun mempunyai kecenderungan ketagihan internet, sekali gus meningkatkan risiko mereka terdedah kepada pelbagai ancaman sosial sekiranya tidak mendapat bimbingan sewajarnya.
Tambah beliau, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menunjukkan peningkatan kes rogol statutori melibatkan hubungan suka sama suka dalam kalangan individu bawah umur daripada 719 kes pada 2019 kepada 1,139 kes pada 2025.
Katanya, peningkatan itu membuktikan pendidikan berkaitan keselamatan diri dan kesihatan reproduktif perlu diperkukuhkan bagi melindungi remaja daripada menjadi mangsa eksploitasi serta membuat keputusan yang lebih bijak.
Nancy turut mengingatkan ibu bapa bahawa mereka merupakan benteng pertama dalam melindungi anak-anak daripada pengaruh negatif dengan meluangkan lebih banyak masa bersama, menjadi pendengar yang baik serta memahami dunia digital yang dilalui anak-anak.
“Kadangkala kita sebagai ibu bapa terlalu garang sehingga anak-anak takut untuk berkongsi masalah mereka. Sedangkan orang pertama yang sepatutnya membantu mereka ialah ibu bapa sendiri.
“Apabila hubungan dalam keluarga erat, anak-anak akan lebih yakin mendapatkan nasihat dan mampu membuat pilihan yang betul dalam kehidupan,” katanya.
Beliau berkata, atas sebab itu Program PEKERTI Negara diperkenalkan bagi memastikan pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial dapat disampaikan secara lebih berkesan kepada golongan remaja melalui pendekatan pembimbing rakan sebaya.
Menurut beliau, Sarawak dipilih sebagai lokasi peluncuran rasmi Program PEKERTI Negara dengan pelaksanaan awal melibatkan Program KafeTEEN yang akan melahirkan 60 Pendidik Remaja Junior serta memberi manfaat kepada lebih 5,000 murid tahun ini.
Katanya, menjelang 2030, program berkenaan dijangka memberi manfaat kepada lebih 25,000 remaja di seluruh Sarawak sekali gus memperkukuh usaha melahirkan generasi muda yang lebih berpengetahuan, berkeyakinan dan mampu membuat keputusan yang tepat dalam kehidupan.
Oleh Shahrul Qaizat