
KANSAS CITY, Amerika Syarikat: Colombia yang mensia-siakan banyak peluang menewaskan Ghana yang tumpul 1-0, sebentar tadi untuk menjadi pasukan terakhir melayakkan diri ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia.
Skuad Amerika Selatan itu mendominasi perlawanan di Stadium Arrowhead, namun hanya jaringan awal Jhon Arias menjadi pemisah dalam aksi yang jelas dikuasai mereka, sebelum kini bersedia menentang Switzerland di Vancouver pada 4.00 pagi Rabu (waktu Malaysia)

Pemain tengah Ghana, Thomas Partey, hampir membuka jaringan apabila percubaannya pada minit pertama tersasar sedikit, namun situasi itu tidak berlanjutan sebagai ancaman sebenar buat wakil Afrika tersebut.
Colombia terpaksa melakukan pertukaran awal apabila Jhon Córdoba mengalami kecederaan pangkal paha dan digantikan oleh Luis Suárez.

Beberapa minit kemudian, Ghana turut melakukan pertukaran apabila Alidu Seidu masuk menggantikan Marvin Senaya yang cedera.
Colombia membuka jaringan pada minit ke-14 hasil hantaran Luis Suárez dari sebelah kanan yang disudahkan Jhon Arias yang tidak dikawal.
Gol itu memberi tekanan besar kepada Ghana yang dikendalikan Carlos Queiroz, yang hanya menjaringkan dua gol sepanjang peringkat kumpulan.

Didorong sokongan padu penyokong di Kansas City, Colombia terus menguasai permainan dengan corak permainan yang tersusun dan kreatif dalam usaha mencari gol kedua.
Penyerang Bayern Munich, Luis Díaz, hampir menggandakan jaringan pada minit ke-39, namun rembatannya tersasar.
Pada masa kecederaan babak pertama, penjaga gol Ghana, Lawrence Ati Zigi, melakukan satu penyelamatan cemerlang menafikan tandukan Johan Mojica.

Statistik separuh masa pertama jelas memihak kepada Colombia, manakala Ghana gagal mencatat sebarang percubaan tepat ke sasaran.
Colombia terus menguasai babak kedua tetapi mensia-siakan beberapa peluang untuk menamatkan perlawanan.
Díaz menjaringkan gol, namun dibatalkan kerana ofsaid, sebelum satu lagi percubaannya mudah ditangkap Ati Zigi.
Menjelang wisel penamat, Juan Quintero melepaskan rembatan kencang yang tersasar, namun satu gol sudah cukup untuk memastikan kemenangan ke atas Ghana yang gagal melakukan sebarang percubaan tepat sepanjang perlawanan. – AFP