
ARLINGTON, Amerika Syarikat: Ketua jurulatih Australia, Tony Popovic, mempertahankan keputusannya menukar penjaga gol sebelum penentuan sepakan penalti yang akhirnya menyaksikan pasukannya tewas kepada Mesir dalam aksi pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026 di Texas, pada perlawanan 2.00 pagi tadi (waktu Malaysia).
Popovic turut menegaskan beliau tidak menyesal memberikan tanggungjawab sepakan penalti kepada pertahanan berusia 18 tahun, Lucas Herrington, yang gagal apabila rembatan beliau terkena palang.
Seorang lagi pertahanan, Harry Souttar, turut gagal menyempurnakan sepakan ketika Australia tewas 2-4 menerusi penentuan penalti selepas terikat 1-1 dengan Mesir.
Pada penghujung masa tambahan, ketika penentuan sepakan penalti hampir pasti, Popovic mengeluarkan penjaga gol Patrick Beach, 22, dan menggantikannya dengan penjaga gol berpengalaman, Mathew Ryan.
Ryan, 34, yang pada asalnya penjaga gol utama Australia dalam kejohanan itu, gagal menafikan sebarang sepakan penalti ketika Mesir melangkah ke pusingan 16 terbaik menentang Argentina atau Cape Verde.
Popovic, yang menyifatkan dirinya “amat bangga” dengan pasukan itu, berkata Socceroos telah menunjukkan semangat, ketahanan dan kualiti sebelum perlawanan ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti.
“Sentiasa ada pilihan untuk melakukan pertukaran dan beberapa minit sebelum tamat, kami tidak mengalami sebarang kecederaan dalam masa tambahan, jadi kami masih mempunyai satu pertukaran dan kami memasukkan Maty,” katanya.
“Namun ia tidak menjadi, jadi kita boleh menilai pelbagai sebab di sebalik keputusan itu. Tetapi berdasarkan pengalaman Maty serta rekodnya dalam menyelamatkan sepakan penalti…
“Patrick masih baharu sebagai penjaga gol, bukan sahaja dalam pasukan kebangsaan malah di peringkat kelab.
“Kami merasakan pengalaman Maty mampu menjadi perbezaan.”
Mengenai keputusan memilih Herrington untuk mengambil sepakan penalti dalam tekanan tinggi, Popovic berkata beliau tidak menyesali keputusan tersebut.
“Jika pemain muda itu menjaringkan gol, anda pasti akan berkata sebaliknya,” katanya.
“Anda mungkin akan mengatakan betapa hebatnya seorang pemain berusia 18 tahun yang berani mengambil sepakan penalti dan menjaringkannya.” – AFP